Undi BN, Beri Signal Kepada PH Jangan Suka Hati Pergunakan Rakyat


JELAI, 14 Jan – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru rakyat memberi signal kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands ini dengan memilih calon BN, Ramli Mohd Nor.

Menurut Menteri Besar Pahang itu, ia sebagai mesej kepada kerajaan PH agar jangan sesuka hati membuat dasar yang tidak mendatangkan manfaat dan kebajikan kepada rakyat.

“Kemenangan kita mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands ini sebagai satu mesej kepada kerajaan PH jangan buat tak tentu dengan rakyat, kerana kamu juga akan kembali kepada rakyat (undi).

“Semasa berkempen mereka janji macam-macam, tetapi sampai sekarang tidak ditunaikan.

“Sembilan bulan memerintah, kerajaan PH tidak peduli kebajikan rakyat, sehinggakan bantuan sara hidup kepada orang bujang pun ditiadakan,” katanya ketika berucap dalam majlis ramah mesra bersama penduduk kampung di Kampung Bukit Kota, di sini malam tadi.

Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Abdul Rahman Mohamad yang juga Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Lipis.

Justeru, Wan Rosdy amat berharap pengundi di kawasan ini memilih BN kerana terbukti selama ini membela rakyat dan demi maruah parti.

“Kerusi Cameron Highlands ini adalah kerusi BN, maka mempertahankan kemenangannya adalah maruah bagi parti kita,” ujarnya lagi.

Pengarah PRK Cameron Highlands itu dalam ucapannya turut menghargai kerjasama dari pihak Pas dan berharap ianya dapat diterjemahkan pada 26 Januari nanti dengan mengundi calon BN demi agama, bangsa dan negara. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.