Rasuah, Salah Guna Kuasa, Kronisme… Tak Apa, Asal PH Semua Boleh Tapi BN Semua Salah…


KUALA LUMPUR, 14 Jan – “Barisan Nasional (BN) sahaja yang tidak boleh bagi duit, namun sebaliknya jika ia melibatkan Pakatan Harapan (PH), kerana PH merupakan sebuah parti yang ‘suci murni’,” demikian sindir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Adnan Seman berhubung gambar seorang wanita berbaju merah dengan logo PH mengagihkan wang kepada beberapa pemuda yang tular di media sosial.

Katanya, jika BN yang beri maka ia akan dikira rasuah dan satu bentuk sogokan untuk mendapat undi namun jika berlaku di kalangan PH, ia adalah untuk pembayaran balik (reimbursement) penampungan kos petrol kepada sukarelawan-sukarelawan mereka.

“PH tidak mengapa kerana mereka suci, malah tindakan lantikan politik saudara-mara dalam GLC atau agensi kerajaanpun tak apa namun jika ia berlaku di kalangan anggota BN yang tak boleh kerana ianya salahguna kuasa, kronisme.

“Begitu juga menggunakan aset, jentera dan kemudahan kerajaan untuk kepentingan parti dan kempen seperti pilihan raya, BN sahaja tak boleh sebab ianya menyalahgunakan kuasa atau ianya dilihat sebagai penyelewengan, sebaliknya jika PH tidak mengapa.

“Sama jugalah jika ada pendakwaan di mahkamah pemimpin-pemimpin pembangkang maka digugurkan serta menutup pendakwaan atau siasatan pemimpin serta pendokong parti mereka tapi BN tak boleh sebab ianya adalah pendakwaan terpilih atau tekanan politik… PH tidak apa, asal PH semua boleh sahaja,” katanya sinis melalui kiriman di Facebooknya hari ini.

Tegasnya, kawalan ke atas media arus perdana juga, BN sahaja tak boleh sebab ianya tidak mengamalkan kebebasan media tetapi PH tidak mengapa.

Beliau turut menyelar tindakan penyokong-penyokong tegar PH yang sekarang seakan sunyi sepi apabila ada di kalangan pemimpin mereka yang melakukan perkara-perkara yang ‘BN tak patut buat’ tetapi jika dulu, merekalah yang terdahulu akan mengutuk dan mengkritik tindakan-tindakan ‘BN tak patut buat’ tersebut.

“Benarlah peribahasa `mengata dulang paku serpih… mengata orang awak yang lebih’,” ujarnya lagi.

Susulan penyebaran gambar itu, PH melalui Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet memaklumkan bahawa pihaknya hanya memberikan wang bayaran balik untuk kos petrol kepada sukarelawan yang menggunakan kenderaan sendiri pada hari penamaan calon. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.