PRK Cameron Highlands: Pengundi Jangan Tertipu Dengan Taktik PH

TANAH RATA, 14 Jan – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengundi di Parlimen Cameron Highlands terutamanya masyarakat Orang Asli harus berhati-hati dengan segala taktik yang bakal dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH) kerana mereka akan lakukan apa sahaja demi menang di Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Jelas beliau, dalam tempoh berkempen ini sudah pasti umum akan dapat melihat sikap agresif PH memainkan pelbagai isu bagi memburukkan BN.

“Saya berharap agar masyarakat dan para pengundi tidak tertipu dan terpedaya dengan mereka. Jika mereka kata apa guna (BN) menang kerana kerajaan pusat milik mereka, saya nak beritahu kerajaan negeri milik kita.

“Jika calon BN menang, kerajaan negeri akan tolong perkara yang tidak selesai seperti contoh isu tanah dan termasuklah isu berkaitan masyarakat Orang Asli,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Selain itu tambah Ahmad, sekiranya calon BN di PRK Cameron Highlands ini menang, maka ia akan mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya seorang wakil rakyat dilantik di kalangan Orang Asli.

“Kemenangan BN nanti bukan hanya untuk parti tetapi ia juga kemenangan masyarakat Orang Asli kerana suara mereka akan dibawa dengan lebih baik.

“Bagi saya, pembaharuan yang dibawa oleh parti ini adalah satu perkembangan yang sangat baik. Saya juga terharu dengan ‘semangat BN’ yang ditunjukkan oleh MIC kerana memahami situasi politik masa kini dan seterusnya meminjamkan kerusi mereka kepada parti,” luah beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.