Pilihlah BN, Rakyat Perlukan Suara Baru Nilai Ketidakadilan dan Ketirisan Kerajaan PH


TANAH RATA, 14 Jan – Calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor meminta sokongan penuh dari pengundi setempat dalam memastikan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau percaya, rakyat kini sudah mampu menilai kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa wujudnya ketidakadilan dan ketirisan dalam pemerintahannya.

“Kita memerlukan satu suara baru, suara yang lebih tegas daripada parti pembangkang untuk mengatakan kesilapan yang telah dilakukan dalam kerajaan di bawah PH. Kesilapan mereka dalam pemerintahan terutamanya dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan kepentingan awam dan kepentingan semua kaum,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, jika kemenangan ini berpihak kepadanya, beliau percaya ini adalah satu fenomena baru dalam sejarah di Parlimen negara di mana buat pertama kalinya wakil rakyat adalah berasal daripada keturunan Orang Asli.

“Dengan kehadiran saya dalam Parlimen nanti, saya akan menengahkan isu-isu, idea dan pendapat kaum minoriti contohnya dalam merangka dasar yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk kesejahteraan Orang Asli dan masyarakat lain di Malaysia.

“Oleh itu, saya memerlukan sokongan penuh daripada anda agar suara dan hak rakyat terutamanya kaum minoriti dapat diperjuangkan dan diketengahkan,” katanya lagi.

PRK Cameron Highlands menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Ramli yang ditentang Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran dan dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari, bermula pada Sabtu manakala hari pengundian pada 26 Januari dan 22 Januari tarikh undi awal. – MediaUMNO