Proses Pencalonan PRK P.078 Cameron Highlands, Bermula 9 Pagi

TANAH RATA, 12 Jan – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen P.078 Cameron Highlands bermula pada pukul 9 pagi ini.

Pusat penamaan calon di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah di sini turut digunakan sebagai tempat penjumlahan rasmi undi.

Tempoh masa untuk mengemukakan pencalonan akan berlangsung selama satu jam sehingga pukul 10 pagi, diikuti dengan pengumuman calon-calon yang bakal bertanding oleh pegawai pengurus PRK.

Pada kali ini, sebagaimana yang telah diumumkan Khamis lalu BN akan menampilkan bekas Penolong Pesuruhjaya Polis, anak tempatan dari kaum Orang Asli suku Semai, Ramli Mohd Nor, 61, untuk menentang calon kitar semula Pakatan Harapan (PH) dari Dap, M.Manogaran serta dijangka beberapa calon parti lain.

Seawal jam 8 pagi penyokong dan jentera BN memenuhi Padang Awam Majlis Daerah Cameron Highlands di sini bagi memberi sokongan padu kepada calon parti sebelum pergerakan calon yang diiringi pemimpin-pemimpin BN dan beberapa pemimpin Pas ke dewan pusat penamaan calon.

PRK Cameron Highlands diadakan berikutan tindakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 November tahun lepas memutuskan kemenangan Datuk C.Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu terbatal dan tidak sah kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada PRU-14, C.Sivarraajh menang di kerusi tersebut yang membabitkan saingan lima penjuru dengan mendapat majoriti 597 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari, bermula pada hari ini manakala hari pengundian pada 26 Januari dan 22 Januari tarikh undi awal.

Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK.

Mengikut Daftar Pemilih Suku Ketiga Tahun 2018 SPR yang dikemaskini sehingga 14 Disember 2018, seramai 32,009 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRK ini.

Daftar tersebut terdiri daripada 31,750 orang pengundi biasa, 247 pengundi awal dan 12 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.