Pertembungan Empat Penjuru Di PRK Cameron Highlands

TANAH RATA, 12 Jan –  Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands secara rasminya bermula hari ini dengan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Barisan Nasional (BN) dengan calonnya, Ramli Mohd Nor, Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran dan dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Keempat-empat calon ini layak untuk bertanding selepas nama mereka diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK Cameron Highlands Datuk Ishak Md. Napis di pusat penamaan calon Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah.

Presiden MyPPP Tan Sri Dr. M Kayveas yang sebelum ini mengumumkan akan bertanding mewakili bebas menarik diri serta menyatakan sokongan kepada calon PH.

PRK Cameron Highlands adalah PRK kelima diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan yang pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September); serta Parlimen Port Dickson (13 Oktober).

PRK itu diadakan berikutan penyandangnya daripada BN Datuk C. Sivarraajh gagal mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan bahawa PRU-14 bagi kawasan itu adalah terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14 lepas, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.