UMNO Bidas Tindakan Kerajaan PH Guna Kempen Ugutan Kepada Tok Batin Di Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS, 11 Jan – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah hari ini menyifatkan kenyataan YB Senator Bob Manolan Mohamad di Pos Betau, Jelai bahawa Ketua Kampong atau Tok Batin Masyarakat Orang Asli akan kehilangan gaji dan dibuang dari jawatan jika mereka tidak mengundi calon Kerajaan Persekutuan pada Pilihanraya Kecil Cameron Highlands merupakan suatu bentuk ugutan.

Tegasnya ini tidak sepatutnya berlaku kerana Elaun Ketua Kampong atau pelbagai bentuk bantuan kepada masyarakat Asli ia mesti diberi tanpa mengira siapa yang mereka sokong.

Apatah lagi jelas beliau sebagai sebuah kerajaan, Kerajaan PH memang bertanggungjawab menyediakannya kepada mereka yang berhak menerima.

“Jadi membuat ugutan begitu adalah salah sama sekali dan tidak patut dibuat. Kita harap Kerajaan PH berhenti daripada membuat ugutan kepada pengundi di sini kerana rakyat berhak mengundi siapa yang mereka inginkan”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perjumpaan Bersama Kepimpinan Pusat Daerah Mengundi (PDM ) di Pejabat UMNO Cameron Highlands di Tanah Rata di sini, hari ini.

Bob Manolan sebelum ini dilaporkan sebagai memberi amaran kepada ketua kampung Orang Asli atau tok batin  yang mereka boleh kehilangan jawatan dan gaji jika tidak menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Batin ini memang dibayar oleh kerajaan pusat, maka itu batin kena sokong Pakatan Harapan. Tak sokong kita buang.

“Mana-mana batin yang tak sokong kerajaan kita tak bayar gaji dia, betul? Jangan bayar gaji dia. Kita bayar gaji dia, dia tak sokong kita, buat apa kita bayar gaji dia,” katanya dalam sesi dialog dengan tok-tok Batin di kubu BN di Pos Betau, Jelai pagi ini.

Dr Shamsul dalam Perjumpaan Bersama Kepimpinan Pusat Daerah Mengundi (PDM ) di Pejabat UMNO Cameron Highlands di sini juga meminta semua Jentera BN bekerja kuat dengan penuh strategi.

“UMNO dan BN perlu pastikan kita dapat majoriti besar. Kemenangan BN adalah penting untuk memberi signal kepada Kerajaan PH yang banyak mungkir janji, berbohong dan rakyat tidak berpuashati dengannya.

“Kemenangan BN di PRK CH ini penting. Ia akan menjadi titik tolak perubahan kepada lanskap politik negara setelah kita lihat banyak kegagalan yang dibuat oleh Kerajaan PH baik ekonomi, kebajikan rakyat, menyediakan peluang pekerjaan dan sebagainya”, ujar beliau.

Jelasnya lagi jentera UMNO mesti berusaha kuat dan pastikan seramai mungkin keluar pengundi BN keluar mengundi.

Ini kerana beliau bimbang trend keluar mengundi yang rendah dibeberapa pilihanraya kecil sebelum ini juga berlaku disini.

“Justeru, Jentera UMNO perlu punyai strategi yang tersendiri untuk keluarkan pengundi. Maka kita perlu fokus dalam soal ini.

“Kita percaya pihak calon DAP akan melakukan pelbagai usaha bagi mengurangkan pengundi keluar mengundi dan tidak menyokong BN. Oleh itu kita mesti lipat gandakan usaha”, katanya. –MediaUMNO