Pemuda UMNO Pahang Lapor Polis Kenyataan Unsur Hasutan PRK Cameron Highlands

TANAH RATA, 11 Jan – Pemuda UMNO Pahang hari ini membuat laporan polis berkaitan kenyataan berunsur ugutan yang dikeluarkan oleh Senator Bob Manolan kepada Ketua-ketua Orang Asli (Tok Batin) di dalam kawasan Parlimen Cameron Highlands.

Menurut ketuanya Mohd Farid Mohd Nor, Manolan didakwa mengugut Tok Batin akan memberhentikan sebarang penyaluran gaji dan melucutkan jawatan mereka jika mereka tidak mengundi calon dari Pakatan Harapan (PH).

“Pemuda UMNO Pahang nyata kecewa dengan tindakan terdesak ahli parlimen dari parti pemerintah yang tergamak melakukan ugutan kepada pemimpin masyarakat setempat.

“Sekiranya perkara ini tidak dibendung, ianya akan menjadi gejala penyalahgunaan kuasa yang ketara dan Pemuda UMNO Pahang serta Pemuda UMNO Malaysia tidak akan berdiam diri membiarkan rakyat terus ditekan oleh tindakan regim yang menolak demokrasi,” jelas beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Farid, pengundi Parlimen Cameron Highlands adalah bebas memilih siapa yang mereka fikirkan layak memimpin.

Justeru beliau mendesak agar pihak polis dan SPR segera mengambil tindakan tegas terhadap Manolan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.