Ahmad Said Pengerusi BPUN Terengganu, Apandi Ali Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Datuk Seri Ahmad Said dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Terengganu bagi menggantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sementara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Disiplin UMNO bagi menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan telah bersetuju melantik Ahmad Said sebagai Pengerusi BPUN Terengganu bagi menggantikan Mahdzir Khalid.

“Penggantian ini berasaskan kepada persetujuan bersama yang telah dicapai oleh semua ketua-ketua Bahagian Terengganu secara konsensus.

“Sehubungan itu, UMNO mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Mahdzir Khalid yang telah menjalankan tugas selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu.”

Maklumnya lagi, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bersidang pada 9 Januari telah bersetuju untuk melantik Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Pengerusi
Jawatankuasa Lembaga Disiplin UMNO bagi menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Othman berkuatkuasa pada tarikh tersebut.

“UMNO berterima kasih dan amat menghargai sumbangan Tan Sri Abdul Ghani Othman sepanjang menggalas tugas tersebut,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.