Ekonomi Negara Semakin Merudum, Menteri PH Asyik Berdalih

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan membidas tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berterusan berdolak-dalih mengenai ekonomi negara yang semakin merudum sejak mereka mentadbir negara.

Katanya, pemimpin kerajaan PH terutama menteri mungkin boleh berdalih menyatakan ekonomi negara dalam keadaan yang baik tetapi hakikatnya penarafan badan antarabangsa menyatakan sebaliknya.

“Semalam agensi penarafan kredit Moody’s meletakkan unjuran KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) Malaysia kepada hanya 4.7% untuk tahun 2019 dan 4.5% untuk tahun 2020.

“Ini adalah lebih rendah berbanding unjuran kerajaan Pakatan Harapan yang meletakkan sasaran 4.9% untuk tahun ini.

“Hari ini, Nomura menurunkan rating pasaran saham Malaysia dari neutral kepada underweight,” tegasnya di Facebooknya.

Jelas Shahril lagi, Nomura turut menyatakan perolehan saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia adalah mengecewakan dan lebih teruk berbanding prestasi syarikat di pasaran saham negara serantau.

“Tak apa, ‘asalkan BN dah jatuh’ kan? Selamat tahun baru,” sinisnya lagi. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.