Calon BN Cameron Highlands Disepakati Bersama, Komited Majukan Masyarakat

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan syabas kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Ramli Md Noor yang bakal bertanding pada 26 Januari ini.

Katanya, Ramli yang juga bekas Penolong Pesuruhjaya Polis berpangkat ACP adalah calon yang disepakati untuk bertanding mempertahankan kerusi tersebut.

“Seorang anak tempatan Orang Asli yang beragama Islam. Bukan ahli UMNO tetapi seorang yang amat komited dengan dakwah dan memajukan masyarakat tempatan termasuk masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Katanya, biodata Ramli cukup mengagumkan iaitu sebagai bekas Penolong Pengarah Bahagian Jenayah Komersil PDRM, mempunyai Master dari University di United Kingdom dan sedang menghabiskan PhD selain pakar Undang-undang dan aktif dalam program-program dakwah Islamiah.

“Secara tradisinya kerusi ini adalah kerusi yang ditandingi MIC, namun jiwa besar MIC dan UMNO untuk mencadangkan seorang anak tempatan yang tidak menganggotai mana-mana parti politik tetapi komited kepada perjuangan BN untuk semua kaum termasuk Orang Asli,” katanya lagi. – MediaUMNO