RM1.9 Trilion Nilai Pelaburan: ‘Biar Betul, Pelik Bin Ajaib’ PH Puji BN… Bukan Dulu Kata Negara Hancur?

KUALA LUMPUR, 9 Jan – “Biar betul, pelik bin ajaib,” sinis bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam status terbaharu di Facebooknya hari ini.

Najib hairan bukankah dahulu Pakatan Harapan (PH) yang sering mendendangkan kepada rakyat negara hancur dan semakin bankrap di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi kenyataan terbaharu yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menunjukkan sebaliknya.

“PH bukan kata Malaysia sudah hancur dan semakin bankrap di bawah kerajaan BN masa saya? Kerajaan BN bukan sebuah kerajaan yang gagal? Puji pula hari ini.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di bawah kerajaan PH tiba-tiba mengeluarkan kenyataan pagi ini untuk memuji kerajaan BN semasa saya Perdana Menteri.

“Kata strategi kita baik, kita di landasan yang betul. Kita berjaya. Kita tarik pelaburan swasta sebanyak RM1.9 Trilion,” ujarnya.

Tambah Najib lagi, di dalam laporan tersebut juga memuji bahawa perdagangan Malaysia cemerlang pada tahun 2017 apabila mencatat kadar pertumbuhan paling tinggi dalam tempoh 13 tahun, di mana kerajaan BN memerlukan masa sepuluh tahun untuk menarik RM1.9 trilion nilai pelaburan.

“Tetapi, kalah BN jika banding dengan Menteri PH itu yang hanya menggunakan masa beberapa bulan untuk menarik pelaburan asing mencecah RM1.6 trilion dari satu orang pelabur sahaja untuk buat kereta.

“Malangnya, menteri itu sudah ‘konar baring’. Pelaburan RM1.6 trilion sudah tak jadi. Yang tinggal hanya air liur,” sindirnya lagi. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.