Pemuda UMNO Cameron Highlands Yakin Dapat Pertahankan Kerusi Parlimen

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Pemuda UMNO Cameron Highlands yakin dan percaya Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan terbabit yang akan diadakan pada 26 Januari ini.

Ketuanya, Wan Mohd Azam Wan Rosdy berkata keyakinan berkenaan berasaskan kepada sokongan dan juga ‘trend’ perkembangan terkini di kawasan berkenaan yang mahukan wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat untuk mereka.

“Kami Pemuda UMNO Cameron Highlands yakin dan bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan kerusi yang dimiliki oleh BN sebelum ini. Memandangkan kawasan ini mempunyai dua DUN (Dewan Undangan Negeri) iaitu Jelai dan Tanah Rata, mungkin akan ada pembahagian kawasan bagi memudahkan gerak kerja kita selepas ini.

“Insya-Allah kami yakin akan mendapat undi dari penduduk setempat khususnya kalangan penyokong-penyokong Pas dan rakan-rakan pembangkang yang lain. Kita juga tidak menolak mereka atau pengundi di atas pagar dan usaha ke arah itu akan giat diperkasakan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Wan Mohd Azam seterusnya menambah DUN Jelai akan diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia sendiri iaitu Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki manakala Naibnya, Shahril Sufian Hamdan akan mengetuai gerakan di DUN Tanah Rata.

Dalam masa yang sama, beliau menolak kenyataan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mengatakan BN sebelum ini meminggirkan Orang Asli dan menganggapnya adalah fitnah semata-mata dalam usaha mereka untuk memenangi PRK ini.

“Semasa zaman BN memerintah, kerajaan menerusi pelbagai agensi seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) sebagai contoh banyak memfokuskan pembangunan dan keselamatan Orang Asli selain terdapat juga banyak projek-projek yang bermanfaat telah dijalankan dan diluluskan,” ujarnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK P.078 Cameron Highlands pada 12 Jan manakala hari pengundian pada 26 Januari depan berikutan pada November tahun lalu Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan yang dimenangi oleh BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal dan tidak sah kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada PRU lalu, calon BN Datuk C.Sivaraajh memenangi dengan majoriti 597 undi dalam saingan lima penjuru. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.