Kerajaan PH Dicadang Jadikan Universiti Johor ‘Pilot Project’ Untuk Pendidikan Percuma

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Dewan Muda Johor (DMJ) hari ini menyambut baik cadangan yang diajukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui menteri pendidikan untuk membina sebuah universiti awam di Johor tetapi timbul keraguan apakah matlamat sebenar tentang penubuhan universiti baru tersebut.

Ahli Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi dan Kerjayanya, Mohamad Afiq Mohd Alim berkata, sedangkan pada hakikatnya terdapat banyak universiti awam mahupun swasta yang telah didirikan sebelum PH menjadi kerajaan lagi.

“Kita merasa risau dan ragu kerana mahasiswa yang bakal menanggung segala kos pembiayaan Universiti Johor ini bahkan jika Kerajaan PH benar-benar mahu menterjemahkan janji-janji dalam manifestonya memberikan pendidikan percuma.”

Sehubungan itu, DMJ mencadangkan agar Universiti Johor dijadikan ‘pilot project’ ke arah pendidikan percuma.

“…tapi kita tidak yakin kerajaan PH mampu memberikan pendidikan percuma, sedangkan ekonomi negara dari hari ke hari semakin menjunam, inikan lagi mahu beri pendidikan percuma kepada mahasiswa.

“Jika kita fikir bagaimana hendak membangunkan sebuah universiti yang baik dengan kos dan perbelanjaan yang terlalu tinggi, pensyarah yang terbaik, suasana pembelajaran yang kondusif serta fasiliti bertaraf Universiti?” soalnya dalam kenyataan kepada UMNO-Online hari ini.

Tegas Mohamad Afiq, untuk menubuhkan sesebuah universiti baharu bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan semua pihak sama ada dari penduduk tempatan, kerajaan negeri mahupun Persekutuan, kos membangunkan dan juga kos gantirugi kepada penduduk setempat.

“Jika benar kerajaan PH mahu menterjemahkan janjinya dan memberikan pendidikan percuma ia harus ditepati seperti kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengutamakan pendidikan untuk rakyat.

“Cukuplah… kita tidak mahu ditipu dan tertipu lagi, walaupun langkah ini memberi ruang dan peluang untuk anak-anak muda melanjutkan pengajian di peringkat tinggi,” tegasnya. – MediaUMNO