UMNO Junjung Kasih, Terima dan Akur Keputusan Yang Di-Pertuan Agung


KUALA LUMPUR, 8 Jan – Keputusan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agung XV adalah keputusan yang diterima oleh UMNO dengan akur dan hormat, kata Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“UMNO mengambil kesempatan ini menjunjung kasih kepada DYMM Tuanku atas naungan serta kepimpinan yang diberikan sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ujarnya, proses pemilihan Yang di-Pertuan Agung adalah bidang kuasa eksklusif Majlis Raja-raja.

“Justeru, UMNO menggesa semua pihak untuk memahami dan menghormati perkara ini. Ia tidak seharusnya dicemarkan dengan sebarang spekulasi, khabar angin yang tidak sahih, atau dipolitikkan secara tidak bertanggungjawab atau apa-apa sahaja tindakan yang tidak santun.

“UMNO menyatakan sepenuh keyakinan kepada kebijaksanaan dan kepimpinan Majlis Raja-raja dalam tradisi dan hal ini. Justeru, UMNO mengecam keras sebarang tindakan yang bersifat cubaan menangguk di air keruh.

“Malah, UMNO ingin menyeru bukan sahaja orang Melayu, tetapi seluruh bangsa Malaysia untuk bersama-sama menyatakan sokongan, kesetiaan dan kasih yang tidak berbelah bahagi kepada institusi Raja-raja Melayu.”

Katanya, selaku warga negara yang menjunjung Rukun Negara, marilah kita semua bersama-sama menghormati kedaulatan institusi ini dengan taat dan setia.

“Akhir sekali, UMNO mendoakan semoga keseluruhan proses pemilihan Yang di-Pertuan Agung yang berikutnya akan berjalan lancar dan baik,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.