“U-Turn Lagi… Kali Ini Saya Sambut Baik” – Najib


KUALA LUMPUR, 8 Jan – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyambut baik tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat pusingan-U (U-Turn).

Ujarnya dalam Facebooknya, ini berikutan tindakan syarikat milik kerajaan, Perbadanan Putrajaya yang menarik balik keputusan menaikkan kadar sewa kuarters penjawat awam di Putrajaya.

“Semalam, saya kongsi pendedahan dari saudara Isham Jalil tentang kenaikan berganda sewa kuarters Putrajaya dari RM400 sebulan kepada RM800 sebulan.

“Pagi ini, syarikat milik kerajaan itu sudah menarik balik keputusan itu.

“’U-Turn’ lagi. Tetapi ‘U-Turn’ kali ini saya sambut baik,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu juga berharap kerajaan PH membuat ‘U-Turn’ sekali lagi dengan membenarkan kenaikan gaji untuk penjawat awam sebagaimana yang telah Barisan Nasional (BN) cadangkan sebelum ini.

“Harap juga boleh ‘U-Turn’ satu kali lagi dan membenarkan kenaikan satu gaji tahunan untuk 1.6 juta penjawat awam yang sepatutnya berlaku pada 1 Julai tahun lepas jika BN menang tetapi telah dibatalkan oleh PH,” tegasnya.

Beberapa hari lepas, tular satu surat bertarikh 31 Disember 2018, notis pemakluman kenaikan kadar sewaan bagi kuarters kerajaan di Putrajaya, melambung tinggi hingga ke tahap RM700 ke RM800 sebulan berbanding RM400 ke RM500 semasa kerajaan BN mentadbir. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.