PRK Cameron Highlands: Jangan Tertipu Lagi Dengan Janji-janji Manis… Tak Tertunai


SHAH ALAM, 8 Jan – Pengundi di kawasan Felda bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands diseru membuat pilihan yang betul dan jangan mudah tertipu dengan janji-janji manis, ujar Penasihat Suara Generasi Baru Felda, Datuk Zulkefli Nordin.

Pesannya, peneroka Felda usah lagi terpengaruh dengan ‘gula-gula’ yang dilontarkan manakala anak-anak generasi kedua dan ketiga juga tidak membuat keputusan mengikut perasaan marah.

“Pengundi sekarang usah lagi tertipu. Peneroka Felda usah lagi digula-gulakan. Anak-anak peneroka Felda usah lagi membuat keputusan mengikut perasaan marah!

“Buatlah pilihan yang betul dan bijak demi masa depan emak ayah kita peneroka Felda,” tegasnya dalam status di Facebooknya.

Sebagai rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Pakatan Harapan (PH) berjanji akan menghapuskan hutang peneroka Felda dalam masa 100 hari pentadbiran mereka tetapi ternyata ia hanyalah palsu.

Begitu juga katanya, peneroka tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya dari kerajaan PH yang dihimpit kesempitan hidup kesan kejatuhan harga komoditi kelapa sawit dan getah sekarang ini serta kekurangan hasil tuaian.

Tegas Zulkefli yang juga generasi kedua peneroka Felda Soeharto, terdapat tiga Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan Parlimen tersebut yang terdiri dari kawasan Felda iaitu Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3.

“Dengan suasana permasalahan peneroka Felda yang hangat diperkatakan sekarang ini, apakah pengundi-pengundi ditiga kawasan PDM ini akan menggunakan sepenuhnya hak yang mereka ada untuk meluahkan isi hati mereka melalui peti undi dalam PRK Cameron Highlands nanti?

“Jika itulah pentasnya, apakah pengundi di Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3 akan membuat pilihan yang tepat dan betul?

“Khabarnya undi di tiga PDM ini adalah penentu kemenangan mana-mana pihak yang bertanding,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Cameron Highlands pada 26 Januari manakalan hari penamaan calon pada 12 Januari ini.

Pada PRU-14, Datuk C.Sivarraajh, Naib Presiden MIC menang di kerusi Parlimen tersebut yang membabitkan saingan lima penjuru namun pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangannya adalah terbatal.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dari PKR yang memperoleh 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari Pas (3,587 undi); Mohd. Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B. Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi). – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.