Kit Siang Provok MIC Sebab Takut UMNO Bertanding Di Cameron Highlands – Noh


KUALA LUMPUR, 8 Jan – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata, Veteran Dap Lim Kit Siang tidak perlu sibuk ataupun membuat sebarang provokasi dalam urusan pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Jelas beliau, walau siapapun yang bakal dinamakan sebagai calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands ini, sudah pasti ia adalah calon terbaik yang telah diputuskan bersama.

“Semalam Kit Siang mengandaikan UMNO akan meletakkan calon bagi PRK Cameron Highlands dan minta MIC segera meninggalkan BN jika masih bermaruah. Saya nak beritahu Kit Siang, tak perlulah sibuk nak buat provokasi.

“Sebenarnya yang tidak ada maruah ialah parti Dap. Buktinya Dap sanggup gadai maruah dengan tidak menggunakan logo roket sewaktu pilihan raya semata-mata untuk mengalahkan BN. Dap juga sanggup gadai maruah dan memilih musuh utama mereka dahulu iaitu Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri juga semata-mata untuk berkuasa.

“Demi kuasa apa juga Dap sanggup buat. Hari ini juga Tun M mengakui bahawa Dap yang tentukan siapa pemimpin dan siapa akan pegang jawatan selepas berjaya ambil alih kerajaan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Noh Omar, Kit Siang sebenarnya takut sekiranya benar UMNO bertanding di Cameron Highlands dan kerana itulah dia sengaja mencetus provokasi sepanjang kempen bersama calon Dap.

“Kit Siang sendiri akui sepanjang 60 tahun lalu UMNO tidak pernah bertanding kerusi Cameron Highlands, sebab itu dia risau kalau situasi kali ini dia akan berhadapan dengan calon dari UMNO.

“Apa yang pasti dan dari parti mana pun calon kita, kita tetap kekalkan semangat BN dalam semua parti komponen,” tegas beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.