Fokus Perjuangan Rakyat, Kesepaduan Dan Persefahaman Jadikan UMNO Pembangkang Konstruktif – Lokman


KUALA LUMPUR, 8 Jan – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yakin dan percaya bahawa persefahaman dan kesepaduan akan membolehkan UMNO terus menjadi pembangkang yang konstruktif dalam usaha memperjuangkan kepentingan rakyat khususnya menuntut apa yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau fokus terhadap perjuangan rakyat menjadi keutamaan UMNO biarpun ada pihak yang cuba mengalihkan isu terhadap pergolakan dalam UMNO namun suasana yang kondusif diteruskan tanpa menjejaskan perjalanan parti.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah berjiwa besar demi untuk menjaga parti ini supaya tidak ada lagi yang keluar parti, maka beliau melakukan pengorbanan. Saya mengharapkan semua pihak memahami dan masing-masing menjaga sensitiviti.

“Tidak perlulah lagi desakan-desakan yang tidak sihat ini kepada mana-mana pihak. Hari ini suasana aman damai dan tidak kedengaran orang yang memperlekeh dan sebagainya.

“Peringkat awal aman damai dan dalam MT pun semua memberikan sokongan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan. Tidak ada sebarang bentuk percakaran. Fokus kepada perjuangan membela nasib rakyat dan menuntut semua janji yang telah dikemukakan oleh PH kita teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Diskusi U3.0 yang bertajuk ‘Mampukah Bersatu’ yang dihoskan oleh Datuk Dr Azizan Abdul Majid. Program berkenaan disiarkan secara Live menerusi medium rasmi UMNO-Online di pautan Https://.www.facebook.com/mediaumnomalaysia.

“Alhamudlillah hari ini nampaknya semua orang sudah mula faham bahawa kita perlu bangkit dan fokus kepada kerja kita iaitu untuk menjadi sebuah parti yang dipanggil pembangkang yang konstruktif,” ujarnya.

Pada masa yang sama Lokman turut tersentuh dan penuh yakin dengan semangat ahli parti di akar umbi yang benar-benar bersemangat untuk meneruskan kesinambungan perjuangan UMNO hari ini.

“Ahli tidak pernah lari daripada semangat ini… mereka sentiasa bersemangat. Akar umbi ini mereka sayangkan parti. Orang yang berhenti berpolitik kembali berpolitik dan orang yang selama ini tidak mahu bersama UMNO kembali kepada parti semula apabila mereka melihat satu persatu kebinasaaan yang dilakukan kerajaan PH. Mereka kembali aktif dalam perjuangan untuk rakyat bersama UMNO.

“Malah mereka ini tidak tergugat apabila terdapat pimpinan mahupun Ahli Parlimen UMNO melompat parti. Ambil contoh di Jeli apabila Datuk Seri Mustapha Mohamed yang keluar parti namun ahli-ahli parti masih kekal bersama-sama dalam perjuangan UMNO,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.