Kadar Sewa Kuarters Penjawat Awam Naik Hampir Dua Kali Ganda, Menteri PH Perlu Beri Penjelasan

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta untuk memberikan penjelasan berkaitan kadar sewaan kuarters bagi penjawat-penjawat awam di Putrajaya telah dinaikkan dengan mendadak.

Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jalil berkata, jika dahulu penjawat-penjawat awam di sini hanya membayar RM400-RM500 untuk sewaan pangsapuri gred rendah dan sederhana, kini mereka terpaksa membayar hampir dua kali ganda sehingga RM700 ke RM800 sebulan.

“Kepada ramai orang, kenaikan RM400-RM500 sebulan ini adalah satu jumlah yang amat besar lebih-lebih lagi kepada penjawat awam gred rendah dan sederhana.”

Katanya, mengikut alasan Kerajaan PH, kenaikan ini adalah untuk menampung kos selenggaraan.

“Saya dulu pernah duduk kuarters selama beberapa tahun. Untuk makluman pemimpin Kerajaan PH yang membuat keputusan ini, semasa Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu sewaan kuarters adalah kekal rendah bukan kerana kos selenggaraan yang murah.

“Namun kos selenggaraan kuarters ini sedikit sebanyak dibantu dan ditanggung oleh Kerajaan BN untuk meringankan kos sara hidup penjawat-penjawat awam terutama di gred sederhana dan rendah di kawasan bandar seperti di Putrajaya dan di bandar-bandar lain.

“Ini adalah kerana gaji penjawat-penjawat awam ini bukanlah tinggi seperti pekerja swasta, dan pengurusan sewa kuarters penjawat awam ini bukanlah satu perniagaan mementingkan untung rugi seperti perniagaan hartanah swasta.”

Katanya, sewa rumah adalah antara faktor utama yang mendorong kos sara hidup rakyat.

“Apabila harga atau sewa rumah naik, kos sara hidup juga akan meningkat.”

Tegas beliau, kini nasib penjawat awam semakin tertekan di bawah Kerajaan PH.

“Sudahlah kenaikan gaji dibatalkan, kos sewa kuarters pula dinaikkan dengan mendadak.

“Saya mahu Menteri yang bertanggungjawab memberi penjelasan. Adakah hal kenaikan ini juga disebabkan kekurangan wang akibat ketirisan SST?

“Sekali lagi nampaknya yang untung ialah tauke-tauke bisnes yang lari dari cukai berbilion ringgit, yang rugi ialah semua orang lain, dan dalam kes ini penjawat awam pula yang kena.”

Dalam hal ini, beliau mengambil maklum bahawa aduan kenaikan sewa tersebut adalah melibatkan kuarters Perbadanan Putrajaya (PPj) dan bukan Bahagian Pengurusan Harta (BPH) kerana kedua-dua badan ini adalah milik penuh kerajaan dan di bawah kawal selia kerajaan. – MediaUMNO