Hina YDP Agong : Pemuda UMNO Kesal Penyerahan Memorandum Di Pejabat Cisco System Bertukar Kecoh

 

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Proses Penyerahan memorandum Pemuda UMNO Malaysia kepada pihak Cisco System bagi menggesa syarikat itu mengambil tindakan tegas terhadap pekerja mereka yang menghina DYMM Tuanku Sultan Kelantan bertukar kecoh.

Ini terjadi apabila wakil pihak Cisco cuba ‘bermain tarik tali’ enggan menerima memorandum tersebut sehinggakan proses yang sepatutnya selesai dalam tempoh lima minit berlanjutan sehingga 45 minit.

“Kita kesal dengan sikap pihak Cisco kerana kita datang dengan cara baik. Bukannya kita datang untuk buat kecoh. Sebab itu Pemuda UMNO Malaysia hanya datang dua orang sahaja.

“Anda semua boleh lihat tadi bagaimana mereka bermain tarik tali.. rupanya mereka memanggil polis bantuan untuk menghalau kita. Namun saya berterima kasih kepada seorang lagi wakil Cisco yang akhirnya menggunakan cara diplomasi dan menerima memorandum ini,” ujar Exco Pemuda UMNO Malaysia Ikmal Hazlan Ikmal Hisham yang mewakili Pemuda UMNO Malaysia bagi menyerahkan memorandum tersebut.

Jelas beliau, penyerahan memorandum ini adalah untuk menggesa syarikat terbabit mengambil tindakan tegas kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh pekerja mereka iaitu Eric Liew kerana menghina DYMM Tuanku Sultan Kelantan di media sosial berikutan keputusan Baginda melepaskan jawatan Yang Diperuan Agong.

“Tindakan Eric ini adalah biadap dan tidak menjaga sensitiviti rakyat negara ini. Kita mahu perkara ini menjadi pengajaran kepada rakyat negara ini untuk menghormati perlebagaan dan rukun negara.

“Sekiranya tindakan tidak diambil dalam masa terdekat maka Pemuda akan terus menggesa dan mendesak,” ujar beliau lagi.

Bagi Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor, Amin Shukor pula, desakan ini bukan kerana Eric berbangsa Cina tetapi siapa sahaja warganegara Malaysia tidak kira agama dan bangsa sekiranya tidak menghormati perlembagaan dan rukun negara maka Pemuda akan menggesa agar tindakan segera diambil.

“Ini bukan soal bangsa dan kaum, kalau seseorang itu gagal untuk memahami dan mematuhi kesejahteraan negara maka tindakan harus diambil.

“Siapapun yang cari makan di negara ini harus mematuhi perlembagaan dan rukun negara. Kita tidak mahu keharmonian negara ini dipecah-belahkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.