Mahu Jadi Suci Seputih-putihnya? Ada Caranya… – Puad Zarkashi


BATU PAHAT, 6 Jan – Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dengan sinis mengatakan kelebihan Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) adalah kemampuannya menyucikan seputih-putihnya seseorang.

Begitu juga Perdana Menteri (PM) kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu boleh menjadikan seseorang itu dilihat sebagai manusia paling jahat, katanya dalam satu status di Facebooknya.

“Sebenarnya itulah kelebihan Tun M. Dia boleh mensucikan seputih-putihnya seseorang dan boleh menjadikan seseorang itu dilihat sebagai manusia paling jahat.

“Ini yang beliau buat pada Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Anwar mulanya dijadikan manusia paling jijik. Kemudian menjadi bersih dan bakal jadi PM. Begitu juga Lim Guan Eng.

“Begitu juga beliau cuba lakukan terhadap Najib (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) dan Zahid Hamidi (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi),” tegasnya lagi.

Puad memberi reaksi demikian ketika mengulas kenyataan Tun M di sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini yang berkata tiada perbincangan mengenai kenyataan kontroversi Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, Naib Presiden parti pimpinannya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Maksudnya tiada tindakan disiplin ke atasnya (Ab Rashid),” bidas Puad.

Ketika Perhimpunan Agung Tahunan parti tersebut minggu lalu, Ab Rashid di dalam ucapannya menggelar ahli parti PPBM yang membantah pemberian jawatan dan kontrak kerajaan kepada pimpinan parti sebagai ‘pandangan bodoh’ serta menggesa mereka mesti memenangi pilihan raya dengan apa cara sekalipun.

Tambah Puad, Ab Rashid juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) yang dilantik oleh Tun M.

“Bagaimana dia mahu melakukan reformasi sedangkan pemikirannya dikuasai oleh jiwa kotor, salah guna kuasa dan perasuah?

“Kenapa BERSIH diam membisu?,” soalnya. – Media UMNO