Rakyat Mensubsidikan Kerajaan, Dah Terbongkar Baru Nak Turunkan Harga Minyak

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Setelah rakyat mensubsidikan kerajaan selama hampir dua bulan, akhirnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru sedar untuk menurunkan harga minyak, bidas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam ciapan di Twitternya, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, kerajaan PH akhirnya tunduk kepada gesaan rakyat apatah lagi harga minyak dunia telah lama turun.

“Alhamdulillah, selepas disedarkan dan digesa hentikan tindakan menjadikan rakyat dan pengguna mensubsidikan kerajaan selama hampir dua bulan… akhirnya mereka terpaksa tunduk dan turunkan harga yang mana harga minyak dunia dah lama turun,” katanya.

Setelah berkali bertangguh dan membuat pusingan U, semalam, Kementerian Kewangan menetapkan harga runcit produk petroleum dilaksanakan secara mingguan mulai 12 tengah malam tadi dengan harga RON95 serta RON97 diturunkan sebanyak 27 sen menjadi RM1.93 dan RM2.23 seliter, manakala harga diesel turun 14 sen menjadi RM2.04 seliter.

Mengulas perkara yang sama juga, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpendapat penurunan harga minyak bukan kerana kehebatan PH, sebaliknya selepas pendedahan demi pendedahan dibuat bahawa kerajaan PH ‘merompak’ duit rakyat kerana tidak mahu menurunkan harga runcit produk petroleum tersebut walaupun harga dunia menunjukkan semakin menurun.

“Setelah didedah yang minyak mesti diturunkan, akhirnya rejim #PH setuju untuk turunkan.

“Adakah kerana kehebatan mereka? Tidak sama sekali. Minyak #Malaysia turun sebab harga minyak dunia turun.

“Itu pun setelah banyak hari mereka ‘merompak’ duit rakyat yang beli RON95 dengan harga RM2.20!,” tegas Ahli Parlimen Pontian itu di dalam laman Facebooknya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.