Tuduh BN Pinggir Masyarakat Orang Asli, PH Perlu Lebih Membaca Dan Cermin Diri Sendiri


KUALA LUMPUR, 2 Jan – Pemerhati Politik Yusman Zahari Zakaria berkata, Lim Kit Siang perlu berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN) kononnya meminggirkan masyarakat Orang Asli selama enam dekad.

Sebaliknya jelas beliau, Kit Siang perlu bertanya sendiri kepada kabinet kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) mengapa projek untuk infrastruktur untuk Orang Asli dihentikan selepas ianya diluluskan oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

“PH sepatutnya berdiri di hadapan cermin untuk melihat sendiri kegagalan mereka dan bukannya hanya pandai menuding jari.

“Dalam siri awal kempen Dap untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Kit Siang telah mula masuk ke perkampungan Orang Asli (walaupun tempoh berkempen belum bermula lagi) dan mencari publisiti picisan kononnya Dap akan membela nasib pribumi ini. Mahu bela bagaimana kalau peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan dahulu mereka batalkan.

“Di hadapan Orang Asli bolehlah mereka temberang tetapi bagaimana dia mahu menjawab dalam Parlimen nanti apabila diajukan soalan mengapa peruntukan tersebut dibatalkan. Inilah sikap tidak bertanggungjawab Dap apabila mereka membatalkan projek BN untuk kemudahan dan keselesaan rakyat.

“Mereka ini sanggup melakukan apa sahaja dan kemudian akan menghilangkan diri apabila apa yang dihajati tercapai,” ulas beliau kepada UMNO-Online.

Yusman berkata demikian mengulas status yang dimuatnaik oleh Kit Siang dalam ‘twitter’ berkaitan pengalamannya yang terkandas dalam perjalanan keluar dari perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands.

“Kit Siang sebenarnya melakukan kesilapan apala menyalahkan pihak lain dalam perkara ini. Mungkin dia ‘buta’ dan tidak dapat melihat kemajuan yang dibawa oleh kerajaan BN kepada masyarakat pribumi ini.

“Penempatan di Leryar hinggalah ke Kampung Tiat antara penempatan selesa dan moden yang disediakan oleh kerajaan BN malah kemudahan asas di sana setaraf dengan bandar.

“Menyentuh kemajuan kepada masyarakat Orang Asli, peruntukan besar telah diberikan untuk membawa dunia moden kepada mereka selain memberikan pembelajaran terbaik buat anak-anak Orang Asli menerusi pelbagai kaedah malah asrama khas turut disediakan bagi memastikan golongan ini tidak tercicir dalam alam persekolahan,” ulasnya lagi.

Justeru, beliau menyifatkan tindakan Kit Siang ini ibarat ‘ayam tua yang cuba berkokok di pagi hari’.

“Mungkin Kit Siang perlu membaca apa kemajuan serta bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri Pahang kepada Orang Asli negeri ini,” bidas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.