UMNO Pejuang Sebenar Melayu dan Bumiputera


KUALA LUMPUR, 1 Jan – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mempersoalkan mengapa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beria ingin melihat UMNO dihapuskan dan apakah hal ini terkandung di dalam salah satu ‘time capsule’ yang ditanamnya pada tahun 1987?

Soalnya, apakah Dr Mahathir sudah meramalkan kehancuran UMNO ketika memimpinnya sedangkan kapsul masa itu sepatutnya dibuka pada 31 Mei lalu tetapi masih dirahsiakan.

Katanya, terbaru dua pemimpin BERSATU iaitu Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, yang juga bekas pemimpin utama UMNO suatu ketika dahulu, malah beberapa ucapan dari pimpinan BERSATU di Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU yang berakhir Ahad lalu juga ramai yang bercakap menjurus ke arah menggantikan UMNO.

“UMNO mesti terus memainkan peranan sebagaimana asas kewujuddannya iaitu membela kepentingan Melayu dan Bumiputra kerana usaha untuk membentuk pemikiran masyarakat terutama orang Melayu bahawa BERSATU lebih layak mewakili bangsa Melayu daripada UMNO semakin giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Dalam ucapan dan kenyataan dua pemimpin utama BERSATU baru-baru ini, kedua-dua pemimpin ingin menggambarkan BERSATU lebih layak mewakili Melayu yang dikatakan semakin terkebelakang berbanding kaum lain dengan orang Melayu didakwa seolah-olah tiada agenda di bawah UMNO.

“BERSATU harus cerminkan diri mereka. Hakikatnya BERSATU tiada jasa memerdeka dan memajukan Malaysia. Jasanya pada orang Melayu jauh ketinggalan berbanding UMNO. Hanya baru tujuh bulan BERSATU memerintah sedangkan 61 tahun UMNO memimpin Malaysia, maka tentunya jasa UMNO lebih besar berbanding BERSATU.

“UMNOlah yang membawa kemajuan pada Melayu dan Bumiputra, ini fakta yang siapa tidak boleh nafikan. Malah parti keramah ini jugalah yang berperanan dan bersama membangunkan rumpun Melayu dan bumiputra termasuk di Sabah Sarawak iaitu sejak UMNO ke Sabah pada 1991 dan bersama parti parti Melayu Bumiputra di Sarawak.

“Faktanya kedua-dua pemimpin inilah yang juga pengemudi dan pemimpin UMNO ketika parti menerajui BN dan kerajaan dalam beberapa waktu dalam tempoh 61 tahun BN memerintah. Mereka seolah-olah menutup mata dan telinga menidakkan sumbangan serta jasa UMNO kepada rakyat terutama orang Melayu.”

Tegasnya, kini mereka memperlekah dan mengkritik UMNO dan mereka tidak mahu mengakui bagaimana UMNO banyak membantu masyarakat Melayu terutama di luar bandar.

“Apakah sejarah UMNO membangunkan Pendidikan, Ekonomi, Kesihatan, Pembangunan Prasaran dan banyak lagi perkara lain boleh dinafikan?

“Memang UMNO akui masih banyak agenda UMNO tidak selesai dilaksana namun hakikatnya UMNO terbukti ada jasa besar pada orang Melayu dan Bumiputra.

“Kemudian bolehkah kita yakin apabila Tan Sri Muhyiddin berkata BERSATUlah yang akan memperjuangkan agenda Melayu dan mengambil alihnya daripada UMNO selepas ini. Mungkin sekali dengar ia boleh mempengaruhi dan apalagi mereka adalah sebahagian daripada Kerajaan PH hari ini.”

Katanya persoalan yang mesti difikirkan ialah BERSATU bukan parti dominan dalam Kerajaan PH namun mereka hanya bijak bercakap sedangkan realitinya lihatlah apa yang berlaku apabila pemimpin BERSATU diberikan peranan dalam Kerajaan PH.

“Kita lihat Menteri Pendidikan lebih banyak menumpukan kepada soal yang ‘ remeh temeh‘, soal kasut hitam, stokin, aktiviti berenang sedangkan masih belum nampak agenda pendidikan untuk Melayu dan Bumiputra.

“Beliau seolah takut kepada ‘kuasa besar’ Dap namun apabila timbul isu ICERD pendirian pimpinan BERSATU tidak senada malah ada yang tidak berani bersuara. Malah Menteri dari BERSATU lah yang mula bercakap untuk meratifikasikan ICERD. Jadi apakah dengan cara ini BERSATU boleh diharapkan menjaga Melayu dan Bumiputra ?

“Bagi Dr Mahathir, beliau tetap dengan naratif lamanya apabila terus berkata orang Melayu perlu menyalahkan diri sendiri kerana hidup miskin dan gagal menguasai sektor ekonomi sejak merdeka. Pendirian ini, seolah olah beliau tidak mahu berusaha bersunguh sungguh memajukan orang Melayu.”

Ujarnya, Dr Mahathir juga nampaknya semacam meludah ke langit kerana selama 22 tahun menerajui UMNO, apa perancangan sebenarnya untuk meningkatkan kedudukan Melayu, terutama pemilikan ekonomi mereka?

“Selama 22 tahun juga Melayu dan Bumiputra bergantung harap kepada seorang pemimpin UMNO yang lantang bersuara di pentas dunia luar, seperti mewujudkan Suruhanjaya Selatan-Selatan, tetapi tidak banyak berbuat sesuatu untuk menempatkan Melayu di peta ekonomi dunia.

“Selama tempoh itu beliau hanya memikirkan bagaimana nama ‘Mahathir’ dapat dikenali di serata dunia, dan bagaimana tokoh perniagaan bukan Melayu dan beberapa Melayu menjadi kroninya sahaja mendapat keistimewaan. Selama 22 tahun juga Melayu ditipu oleh keterampilannya yang hanya tertumpu di peringkat antarabangsa.

“Selama 22 tahun juga beliau sibuk untuk merencanakan legasinya dengan membina projek raksasa yang hanya mampu mengisi kehendak bukan Melayu dan orang asing, seperti KLCC, Cyberjaya, KLIA dan sebagainya. Sedangkan kereta nasionalnya yang berharga paling murah pun tidak termampu dimiliki oleh rakyat berpendapatan rendah dan rendah-sederhana.”

Soalnya, kenapa jadi begitu?

“Jika benar-benar ingin membantu Melayu, kenapa tempoh 22 tahun itu dipersia-siakan dengan menjadikan beberapa orang sebagai jutawan yang gagal melahirkan lebih ramai jutawan Melayu?

“Kenapa baru sekarang? Apabila keluar dari UMNO yang diperkudakannya selama 22 tahun. Baru Dr Mahathir menggunakan semula istilah ‘bantu Melayu’ selepas kegagalannya berbuat demikian?

“Tempoh 22 tahun cukup lama! Apakah kita yakin kali ke dua beliau menjadi PM agenda Melayu dan Bumiputra dapat dilaksanakan dengan baik ? Apatah lagi Setiausaha Agung Dap yang kita kenali tebal semangat Malaysia Malaysian nya menjadi Memteri Kewangan?”

Tegas beliau, lihat sudah beberapa syarikat dan aset milik kerajaan yang diusahakan oleh BN dulu sudah dipindah milik ke Syarikat Tujuan Khas (SPV) atau Special Purpose Vehicle di kawal oleh LGE?

“Bukankah ada diantaranya memegang saham atau ikuiti milik Melayu dan Bumiputra? Kenapa ini dibenarkan oleh pimpinan BERSATU?

“Begitu juga Muhyiddin, apakah beliau juga mahu melihat UMNO terkubur dan digantikan oleh BERSATU? Apa yang nyata dua tokoh yang pernah dihormati ini menyimpan dendam kesumat yang mendalam terhadap UMNO yang sangat berjasa kepada mereka sebenarnya.

“Muhyiddin juga pernah mengecap pelbagai nikmat daripada UMNO.Malah nikmat yang beliau perolehi lebih daripada kebanyakan orang lain. Kenapa beliau mengungkit isu ‘bantu Melayu’ ini jika peranannya ketika bersama UMNO dahulu dipersia-siakan juga?”

Katanya, kita mengenali beliau ‘luar dan dalam’ termasuklah ketika beliau menerajui Kerajaan Negeri Johor suatu ketika dulu, tetapi UMNO tidak mahu mengungkit kisah silamnya bersama parti ini.

“Soalnya kenapa ketika di dalam UMNO beliau tidak bersungguh-sungguh membantu Melayu dan Bumiputra?

“Dr Mahathir mendendaminya kerana mungkin merasakan kuasa 22 tahunnya tidak mencukupi. Setelah merasai ‘black out’ pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau merasakan terpinggir dan tidak dapat menerima hakikat kehilangan kuasa politik yang dipegangnya sebegitu lama. Muhyiddin pula menyimpan dendam terhadap keseluruhan ahli Umno selepas dipecat pada Jun 2016 sedangkan parti itulah yang menjulang kedudukannya.

“Bila dendam menguasai mereka, mereka hilang tumpuan untuk membela untung nasib bangsa. Muhyiddin sebagai Menteri KDN gagal berperanan. Lihatlah sekarang PDRM hanya biarkan banyak sosial media mengkritik Institusi Raja dan institusi Melayu, Isu Adib ,anggota Bomba tidak ditanggani dengan baik. Mahathir sendiri membiarkan ‘Rule Of Law’ menjadi celaru dan tidak diyakini kewibawaannya. Kuasa yang diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mei 2018 lalu juga gagal dilaksanakan dengan baik sebaliknya PH sering menuding jari kepada orang lain terutama kegagalan menunaikan manifesto mereka.”

Ujarnya, sesuatu yang menyedihkan kerajaan yang sama menutup agensi yang didakwa ada kepentingan politik seperti JASA dan Amanah Ikhtiar Malaysia ( AIM ).

“Agensi ini banyak membantu beliau ketika pemerintahannya. AIM yang banyak membantu golongan wanita Melayu untuk menambah pendapatan turut dikuburkan. Kenapa Pendidikan Islam di sekolah yang sepatutnya diperkukuhkan hendak dirombak?

“Lihatlah apa usaha BERSATU ketika ramai pekebun kecil, petani dan nelayan yang rata-ratanya Melayu Bumiputra menderita terhimpit dengan kejatuhan harga komuditi? Agihan zakat hendak dikongsi dengan mereka yang bukan beragama Islam?

“UMNO bimbang, jika Dr Mahathir yang sinonim dengan ‘Krisis Perlembagaan’ dan hingga berjaya mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu suatu ketika dulu, membiar pihak tertentu terus mengkritik raja dan perlekehkan institusi Melayu dan Bumiputra. Ini tentulah merugikan sama sekali. Apatah lagi meletakkan tangggungjawab penting kepada pemimpin bukan melayu bagi menjaga institusi milik Melayu dan Bumiputra.”

Persoalannya, kata beliau, inikah pemimpin dan parti yang boleh memperjuangkan nasib bangsa Melayu?

“Dimana BERSATU ketika semua ini berlaku sedangkan parti ini adalah sebahagian dari Kerajaan PH. Justeru itu BERSATU tidak boleh diletakkan sandaran atau dijadikan benteng mempertahankan hak Melayu dan Bumiputra.

“Justeru itulah rakyat perlu lihat sejarah UMNO ditubuhkan. UMNO ditubuh kerana mempertahakan agama, bangsa, negara apabila Inggeris cuba membawa Malayan Union di Tanah Melayu.

“Orang Melayu bangun menentang dan akhirnya lahirlah UMNO. Kewujudan UMNO sangat jauh bezanya berbanding BERSATU. BERSATU lahir kerana kecewanya Tun M dan Muhiyudin yang gagal menguasai UMNO, dan dendam itulah melahirkan BERSATU.

“Keadaan yang sama juga jika dibandingkan demgan PKR. PKR juga lahir kerana kecewanya Anwar Ibrahim menjayakan cita cita politiknya. Justeru mengharapkan parti yang diasakan atas rasa dendam dan kecewa untuk menjaga Melayu dan Bumiputra sangat bahaya kepada masa depan generasi akan datang. Jadi UMNO lah pejuang sebenar Melayu dan Bumiputra ke asas kelahirannya sangat jelas dan nyata.”

Tegas beliau lagi, realitinya, selepas era Dr Mahathir memimpin, pemimpin UMNO iaitu Pak Lah, dan di zaman Najib Razak terutamanya, UMNO bersama rakan-rakan komponen BN yang lain telah lakukan lebih banyak untuk Melayu dan Bumiputra.

“Pelbagai program pendidikan, ekonomi, keusahawanan dan sebagainya serta mewujudkan berbagai agensi baru khusus ke arah membawa Melayu bersedia di era Revolusi Industri 4.0 agar Melayu bersedia ke taraf dunia.

“Ya, UMNO sedar banyak lagi yang kurang dan perlu dilakukan. Jadi UMNO berharap diberi semula mandat oleh rakyat di PRU-15 untuk menyambung semua ini, kerana BERSATU tidak boleh berperanan mengantikan UMNO.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.