Jenayah Terhadap Adib Tidak Boleh Dilindungi – Sultan Nazrin

PULAU PINANG 28 Dis. – Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah supaya segala usaha dilaksanakan untuk mencari pihak yang bertanggungjawab sehingga mengakibatkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24.

Titah baginda, tangan-tangan yang bergelumang dosa melakukan jenayah sungguh kejam itu sehingga mengakibatkan seluruh keluarga Muhammad Adib berduka perlu dicari demi memastikan undang-undang didaulatkan dan keadilan tidak tercicir.

Baginda bertitah, demi menegakkan kebenaran juga, mereka yang menyaksikan kejadian yang berlaku mempunyai tanggungjawab agama, moral dan undang-undang untuk tampil membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jenayah sekejam ini, sama sekali tidak boleh dilindungi. Kepada Allah SWT kita pohonkan akan berlaku keadilan setimpal (poetic justice), memastikan pihak yang bersalah dan dalang-dalang yang bertanggungjawab di sebalik peristiwa ini tidak terlepas daripada dihukum kerana dosa yang telah dilakukan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian dalam majlis pengurniaan watikah pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Hakim serta Pendaftar Mahkamah Syariah Pulau Pinang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada ibu bapa Allahyarham, Mohd. Kassim Abdul Hamid dan Azma Aziz serta tunangnya, Nurul Najihah Radzi serta seluruh keluarga atas pemergian Muhammad Adib secara tragik.

Titah baginda, sesungguhnya Muhammad Adib ialah seorang wira terbilang, berani, cekal lagi berwibawa yang terkorban untuk negaranya.

“Semoga ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja Muhammad Adib dianugerahi Ilahi dengan ketabahan dan kesabaran menghadapi peristiwa pahit ini.

“Pada pagi Jumaat yang berkat ini, sama-sama kita pohon kepada Ilahi, agar roh Muhammad Adib mendapat dakapan ihsan dan kasih Ilahi, kita pohonkan agar Allah SWT menerima rohnya dalam kalangan roh-roh yang dimuliakan sebagai syahid,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.