Ummah Serah Memo Pada PM Tuntut Keadilan Untuk Muhammad Adib

PUTRAJAYA, 21 Dis – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) hari ini menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mendesak keadilan ditegakkan atas insiden yang menimpa anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Memorandum yang mewakili beberapa pertubuhan bukan kerajaan lain (NGO) itu diserahkan oleh Pengerusi Ummah Aminuddin Yahaya kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Abu Bakar Yahya di perkarangan Perdana Putra di sini.

Ummah sebelum itu bersama lebih 500 individu daripada beberapa NGO mengadakan Himpunan Suara Ummah #Justice4Adib di hadapan Masjid Putra selepas solat Jumaat sebelum berarak ke Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Aminuddin berkata memorandum itu antara lain untuk mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy meletak jawatan kerana gagal memainkan peranan sewajarnya dalam menjaga perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Ummah juga menuntut polis menyiasat segera dan membawa pesalah yang menyebabkan kematian Muhammad Adib ke muka pengadilan, katanya.

Beliau berkata tindakan itu akan disusuli dengan laporan polis di seluruh negara dan pihaknya akan mengadakan perhimpunan lebih besar selepas ini jika tiada usaha proaktif diambil kerajaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.