Jangan Tambah Beban Naikkan Tarif Air


KUALA LUMPUR 21 Dis. – Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bercadang menaikkan tarif air adalah sesuatu yang tidak wajar dan menambah beban pengguna.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, kerajaan sebaliknya perlu memberi fokus kepada dasar pemerintahan berkebajikan dalam memberi kesejahteraan
untuk rakyat dan bukan hanya mementingkan sektor korporat semata-mata.

Katanya, cadangan itu dilihat tidak sesuai dilaksanakan sekarang memandangkan rakyat sedang menghadapi masalah tekanan ekonomi.

“Perlu difahami bahawa walaupun cadangan kenaikan ini hanya melibatkan kenaikan tarif air tetapi kesan kepada kenaikan kos sara hidup akan tetap dirasai oleh rakyat biasa dari semua peringkat.

“Kenaikan tarif air ini jika dilaksanakan memberi impak kepada kenaikan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung rakyat selepas kerajaan baru ini berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar dalam satu wawancara bersama akhbar berbahasa Cina baru-baru ini bahawa kerajaan tidak mungkin menawarkan perkhidmatan percuma selepas jumlah yang besar diperuntukkan untuk menaik taraf kemudahan pembekalan air dan pembetungan. – UTUSAN ONLINE