UMNO Perlis Taruh Keyakinan Tinggi Terhadap Mohamad

KANGAR 20 Dis. – UMNO negeri menaruh keyakinan tinggi terhadap Datuk Seri Mohamad Hasan yang akan menjalankan tugas-tugas sebagai presiden parti.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Azizan Sulaiman berkata, kewibawaan Mohamad diyakini dapat menyelesaikan segala kemelut yang berlaku di dalam parti.

Dalam masa sama, beliau juga memuji tindakan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyerahkan tugas sebagai presiden kepada Mohamad.

“Tindakan positif Ahmad Zahid itu tidak bermaksud apa-apa melainkan memberi ruang untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku di dalam UMNO disebabkan tindakan segelintir Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertindak keluar parti.

“Ahmad Zahid dilihat cukup berjiwa besar dan dengan izin Allah selepas ini semangat ahli UMNO dan akar umbi khususnya akan kembali kuat.

“UMNO Perlis akan menyokong penuh dan terus membantu memperkuatkan parti serta meneruskan perjuangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Presiden UMNO yang menyerahkan tugas-tugasnya kepada Mohamad bagi menyelamatkan parti daripada terus berpecah dan juga demi penyatuan ahli¬nya.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, langkah tersebut penting dalam usaha memastikan UMNO bangkit kembali terutama ketika ramai ahli Parlimen dan ADUN menerima pelbagai tekanan meninggalkan parti itu. – Utusan Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.