Sultan Selangor Zahir Takziah Kepada Keluarga, Waris Adib

SHAH ALAM, 18 Dis – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan takziah kepada keluarga dan waris anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia malam tadi susulan kecederaan yang dialami akibat diserang perusuh semasa insiden di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 Nov lalu.

Titah baginda pemergian Allahyarham amat dirasai oleh seluruh rakyat dan baginda percaya pengorbanan wira itu adalah suatu yang amat mulia di sisi agama, bangsa dan negara.

Titahnya, baginda berkenan mengutus surat takziah kepada bapa Allahyarham di Kuala Kedah, Kedah.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor berasa amat sedih dan dukacita apabila mendengar berita pulangnya ke rahmatullah anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang beta difahamkan Allahyarham telah diserang semasa menjalankan tugas memadamkan kebakaran dalam kejadian rusuhan di perkarangan Kuil Sri Maha Mariamman USJ, Subang Jaya, pada 27 Nov 2018.

“Beta ingin menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada waris dan ahli keluarga serta berharap mereka reda dan tabah menerima ketentuan ini,” titah baginda yang dimuat naik menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Muhammad Adib, 24, meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 9.41 malam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.