Pahang Harap Kerajaan Pusat Tetap Harga Lantai Untuk Sawit

KUANTAN, 18 Dis – Kerajaan negeri Pahang mengulangi harapannya agar kerajaan persekutuan menimbang menetapkan harga lantai bagi kelapa sawit berikutan kejatuhan harga komoditi itu menjejaskan pendapatan pekebun kecil di negara ini dengan sebahagiannya di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata jika harga komoditi itu terus jatuh, pendapatan pekebun kecil khususnya di kawasan luar bandar akan teruk terjejas.

“Kita juga minta kerajaan pusat supaya mengkaji semula polisi berkaitan dengan eksport produk berkenaan dengan mengurangkan levi yang perlu dibayar sebagaimana yang dilakukan oleh Indonesia apabila mengecualikan levi ke atas pengeksportan produk kelapa sawit dan getah.

“Secara tidak langsung ia meningkatkan permintaan untuk komoditi berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perladangan di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Sharkar berkata kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada industri hiliran sektor perladangan bagi meningkatkan pendapatan negeri.

Ini katanya termasuk menambah bilangan kilang dalam sektor itu.

“Kita juga akan menyediakan rangka tindak bagi sektor perladangan di Pahang untuk tujuan ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.