Keadaan Dalam PH Tak Menentu, Kenapa Terburu-buru Melompat?

KUALA LUMPUR,  18 Dis – Datuk Seri Najib Razak menasihatkan ahli Parlimen Barisan Nasional tidak terburu-buru melompat ke Pakatan Harapan (PH) kerana ada banyak ketidaktentuan dalam gabungan parti pemerintah itu.

Bekas perdana menteri itu menyifatkan wakil rakyat yang melompat parti sebagai tidak berprinsip dan “biasanya mereka tidak dapat bertahan lama” kerana akan dihukum pengundi.

Katanya, wakil rakyat yang bertanding atas tiket parti tertentu dan menang kerana sokongan serta kerja keras ahli parti itu, perlu kekal dalam parti sama.

“Kita perlu konsisten dengan prinsip kita, walaupun berada dalam pembangkang. Inilah masanya rakyat akan hormat kita lebih, berbanding kita melompat parti dan kredibiliti kita dipertikaikan.

“Jangan terburu-buru dan lompat ke parti lain. Kita tidak mahu macam mana keadaan di sebelah sana. Sejak beberapa hari ini, kita dengar orang letak jawatan.

“Di sana, ada juga pergolakan. Ada ketidaktentuan,” katanya dalam wawancara yang disiarkan “Nothing to Hide Media” malam tadi.

Wawancara itu dikendalikan Datuk Mohd Puad Zarkashi yang pernah mengetuai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah kerajaan terdahulu.

Menjawab soalan Puad di mana kesilapan UMNO yang menyebabkan ramai mahu meneruskan perjuangan negara dalam PH, Najib berkata, ahli Parlimen UMNO selama ini ialah anggota kerajaan dan diberikan peruntukan serta projek.

“Tetapi bagi saya, perjuangan kita tidak semestinya bermakna kita mempunyai akses kepada peruntukan besar. Kita boleh selaras pendekatan kita supaya rakyat akan terima, faham dan tidak menyalahkan kita apabila kita tidak boleh mengumumkan peruntukan.

“Walaupun tidak boleh membuat pengumuman sedemikian, ia tidak bermakna kita tidak boleh menjadi wakil rakyat yang baik kepada rakyat.”

Minggu lalu, UMNO Sabah yang ditubuhkan pada 1991 lumpuh selepas 36 wakil rakyat, senator dan ketua bahagian di negeri itu keluar parti.

Ia disusuli tindakan beberapa ahli Parlimen UMNO dari Semenanjung Malaysia meninggalkan parti itu.

Desakan Zahid letak jawatan

Berhubung desakan supaya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan Presiden UMNO disebabkan kesnya di mahkamah dan ramai wakil rakyat meninggalkan parti itu, Najib berkata, pertikaian boleh diselesaikan menerusi saluran dalaman parti.

“Guna proses dalaman parti. Marilah kita lakukan perkara dengan cara musyawarah. Walaupun mempunyai perbezaan pendapat, kita boleh mencari penyelesaian yang akan memanfaatkan parti kita.”

Jumaat lalu, Zahid dilaporkan berkata, hanya ahli parti boleh memaksa beliau meletak jawatan sebagai Presiden UMNO, susulan desakan beberapa pemimpin parti memintanya berundur.

Katanya, mengikut perlembagaan UMNO, undian 2/3 perwakilan dalam mesyuarat agung luar biasa diperlukan untuk menggugurkannya.

UMNO akan bangkit semula?

Ditanya jika UMNO boleh bangkit semula, Najib yang juga ahli Parlimen Pekan berkata, kekuatan parti itu terletak pada 2.6 juta ahli dalam 22,000 cawangan di seluruh negara.

“Kita ialah parti politik terbesar di Malaysia. Kenapa kita fikir seolah-olah kita tiada masa depan?

“Sekiranya pada masa dahulu, parti paling kecil dengan disiplin yang betul, komitmen, strategi, usaha dan kesetiaan boleh berkembang. Kita adalah parti terbesar, jangan beritahu saya kita tidak boleh bangkit semula.

“Jika kita sedar, mempunyai komitmen, bersatu dan mempunyai strategi betul, kita boleh lakukannya. Tetapi jangan rasa seperti tiada hari esok untuk UMNO. Kita perlu yakin masa depan masih cerah bagi UMNO. Jangan hilang kepercayaan itu.”

Katanya, masalah berpunca daripada pemimpin, bukannya ahli akar umbi yang menunjukkan daya tahan, kekuatan dan kesetiaan, walaupun UMNO kini menjadi parti pembangkang.

Kes mahkamah

Najib berkata, beliau perlu meminjam wang untuk membayar perbelanjaannya dan ikat jamin kira-kira RM6 juta.

Beliau mengakui tertekan selepas berdepan 39 pertuduhan.

“Saya juga akan menghabiskan masa keluar masuk mahkamah pada tahun depan. Tetapi, apa saya boleh buat? Ini dilakukan pihak tertentu terhadap saya.

“Saya akan terus mempertahankan diri sebaik mungkin.”

Ditanya jika beliau yakin mampu menang di mahkamah, katanya, peguamnya yakin beliau akan bebas selagi perbicaraan dijalankan secara adil. -FMT

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.