Jangan Cetuskan Ketegangan Atas Nama Adib – Khairy

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Rakyat dinasihati agar tidak mencetuskan ketegangan di atas nama allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim yang meninggal dunia semalam selepas tiga minggu bertarung nyawa akibat cedera parah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin meminta semua pihak memberi penghormatan kepada anggota bomba itu dan bersama-sama mendoakan rohnya dicucuri rahmat.

“Hari ini, hari untuk menghormati wira negara Adib, sama-sama mendoakan agar roh almarhum dicucuri rahmatNya. Perasaan marah kita pendam seketika. Jangan cetus ketegangan atas nama Adib.

“Yakin dengan kebolehan polis dan pendakwa untuk bertindak dengan cepat dan tepat,” katanya menerusi akaun Twitter milik beliau, hari ini.

Muhammad Adib parah dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada 27 November lalu dan terpaksa mendapat rawatan rapi di
Institut Jantung Negara (IJN) tetapi akhirnya meninggal dunia kira-kira 9.41 malam.

Kes tersebut sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan empat suspek telah dibebaskan dengan jaminan bon polis tetapi pihak keselamatan malam semalam mengumumkan kes itu kini disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.