DUN Negeri Sembilan Lahirkan Rasa Sedih Kematian Adib

SEREMBAN 18 Dis. – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan merakam ucapan takziah atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim akibat dipukul perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu.

Ucapan takziah dan rasa sedih serta kesal itu dizahirkan dalam Persidangan DUN, di sini hari ini.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) bangun mencadangkan usul itu selepas selesai sesi soal jawab lisan.

Menurutnya, apa yang menimpa Muhammad Adib adalah amat menyedihkan dan berlaku ketika Allahyarham tetap melaksanakan tugasnya dalam situasi tegang.

“Semua pihak perlu mengambil iktibar atas yang berlaku dengan memastikan ia tidak akan berulang.

“Perbuatan membakar sentimen rakyat oleh pihak-pihak yang mengambil kesempatan boleh memberi kesan buruk,” katanya.

Usul Mohamad itu kemudian disokong oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun (PH-Sikamat).

Aminuddin berkata, pengorbanan Muhammad Adib adalah tidak ternilai harganya dan kematian beliau adalah satu kehilangan kepada negara.

“Negeri Sembilan melahirkan rasa sedih atas kehilangan beliau dan berdoa rohnya dicucuri rahmat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.