Pembangkang DUN Negeri Sembilan Keluar Dewan, Kecewa Usul ICERD Ditolak

SEREMBAN, 17 Dis – Pembangkang hari ini bertindak keluar dewan apabila tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Negeri yang enggan membenarkan usul pendirian kerajaan negeri berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD), dibahaskan.

Suasana ketika Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 itu bertukar menjadi kecoh sebelum kesemua 16 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang meninggalkan dewan kira-kira pukul 12 tengah hari selepas selesai sesi pertanyaan lisan.

Terdahulu ADUN Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan bangun bagi membawa usul berkenaan namun ditolak Yang Dipertua Dewan Negeri Zulkefly Omar dan menyatakan isu ICERD sebelum ini telah diputuskan di peringkat persekutuan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun persidangan tetap diteruskan dengan sesi Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2019.

Mohamad ketika ditemui berkata beliau berasa kecewa dan mempertikaikan keterbukaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila isu nasional seperti itu tidak dibenarkan dibahaskan di dalam dewan hari ini.

Tambahnya adalah lebih baik jika dewan bersidang hari ini memutuskan dan merekodkan usul ini bagi memberi kekuatan kepada keputusan Perdana Menteri berhubung isu ICERD ini. – BERNAMA