Ahli Parlimen UMNO Perak Tinggalkan Parti Digesa Letak Jawatan

IPOH 16 Dis. – Ahli-Ahli Parlimen UMNO atau Barisan Nasional (BN) negeri ini yang telah meninggalkan parti, secara moralnya dituntut melepaskan jawatan bagi membolehkan rakyat membuat pemilihan semula melalui Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ketua Badan Perhubungan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkara itu perlu dilakukan kerana mereka dahulu dipilih oleh para pengundi atas kapasiti sebagai calon BN.

“Harus saya ingatkan bahawa semasa kita menghantar borang pencalonan, ada satu dokumen yang sangat penting yang perlu dibawa bersama selain daripada kad pengenalan iaitu satu watikah tauliah yang ditandatangani oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu.

“Watikah itu membenarkan calon tersebut menggunakan lambang BN dalam pilihan raya. Oleh sebab itu, kita tuntut mereka supaya berlaku adil kepada pengundi dan melepaskan jawatan supaya rakyat dapat memilih siapa yang mereka mahukan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saarani berkata, walaupun pihak pemerintah mungkin mengharapkan UMNO akan terkubur berikutan rentetan plot-plot politik yang disusun sejak awal dengan tekanan elemen dendam, ugutan dan pengkhianatan, namun ia tidak semudah itu.

Menurut beliau, biarpun Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin meninggalkan parti, kekuatan parti menginjak usia 72 tahun itu sebenarnya datang daripada peringkat akar umbi (di Perak mencecah 310,428 ahli) dan bukannya semata-mata melalui pemimpin yang datang dan pergi.

“Kemelut politik yang dicipta ini tidak akan mampu menutup pandangan rakyat terhadap krisis perebutan kuasa yang sedang menggoncang kerajaan sehingga janji-janji manis pilihan raya, ketempangan dasar serta keluh-kesah yang disuarakan rakyat saban hari, tidak dipedulikan.

“Meskipun menyedari tekanan dan cabaran getir yang dihadapi termasuk sekatan dan kekangan peruntukan, UMNO tidak boleh hilang fokus dalam memikul amanah rakyat serta konsisten melaksanakan tanggungjawab sebagai blok pembangkang yang kuat dan konstruktif,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.