Ringgit Gagal Kekang Penurunan

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Ringgit gagal meneruskan kenaikan semalam apabila diniagakan rendah pagi ini berbanding dolar AS berikutan aktiviti pengambilan untung.

Pada 9.18 pagi, unit tempatan berada pada 4.1800/1850 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1780/1820 semalam.

Sementara itu, seorang peniaga berkata pemain pasaran akan memantau keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 18-19 Dis, untuk mencari bayangan kemungkinan kenaikan kadar faedah bagi tahun depan.

“Kenyataan positif daripada Rizab Persekutuan akan memberikan lagi tekanan terhadap mata wang pasaran negara sedang pesat membangun, termasuk ringgit,” katanya.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain kecuali yen, di mana ia turun kepada 3.6828/6882 daripada 3.6817/6859 semalam.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0458/0496 daripada 3.0479/0519, naik berbanding pound Britain kepada 5.2823/2890 daripada 5.2902/2957 dan menokok berbanding euro kepada 4.7481/7550 daripada 4.7533/7587. – Bernama