Ahli Parlimen Jelebu Dan Jempol Nafi Akan Tinggalkan UMNO

SEREMBAN, 14 Dis – Dua anggota Parlimen dari Negeri Sembilan menafikan akan meninggalkan UMNO seperti mana yang tular di media sosial.

Kedua-dua mereka, anggota Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias dan anggota Parlimen Jempol Datuk Mohd Salim Mohd Sharif sebaliknya, berpendirian untuk kekal berjuang bersama parti yang diwakili mereka.

“Tidak benar dakwaan itu. Saya masih lagi dengan UMNO. Ada pihak yang tidak senang dengan perpaduan UMNO dan hampir berjaya untuk meruntuhkannya.

“Saya harap anggota Parlimen dan pemimpin UMNO yang berbaki ini terus istiqomah,” kata Jalaluddin yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Jelebu menerusi aplikasi ‘Whatsapp’ kepada Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Salim yang juga Ketua UMNO Bahagian Jempol ketika dihubungi pula berkata terpulang kepada pihak tertentu untuk membuat andaian kononnya beliau akan keluar daripada UMNO.

“Tidak betul berita berkenaan. Itu hak masing-masing untuk membuat andaian,” katanya ringkas.

Hari ini tersebar senarai enam anggota Parlimen UMNO termasuk Jalaluddin dan Mohd Salim serta Anggota Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang akan meninggalkan parti.

Ikmal Hisham yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah bagaimana pun telah mengumumkan keluar UMNO dan menjadi anggota Bebas berkuat kuasa serta-merta, hari ini. – Bernama