Petisyen Pilihan Raya Rantau: Rayuan Mohamad Didengar 18 Feb

PUTRAJAYA, 13 Dis – Mahkamah Persekutuan menetapkan 18 Feb tahun depan untuk mendengar rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan keputusan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-14 sebagai tidak sah dan terbatal serta memerintahkan supaya pilihan raya kecil diadakan segera.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, mewakili calon PKR Dr S. Streram, yang memfailkan petisyen pilihan raya itu, berkata mahkamah akan mendengar rayuan oleh SPR dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan pada hari berkenaan.

Perkara itu dikemukakan untuk pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Syahrin Jeli Bohari.

Muhammad Rafique turut memberitahu pemberita rayuan oleh Pengurus Pilihan Raya Amino Agus Suyub terhadap hukuman penjara tiga bulan yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Pilihan Raya kerana menghina mahkamah ditetapkan untuk pendengaran pada 7 Jan di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, peguam Abu Bakar Isa Ramat, yang mewakili Mohamad, berkata kedua-dua pihak dikehendaki memfailkan rekod rayuan pada 24 Jan tahun depan, dan penghujahan masing-masing pada atau sebelum 4 Feb, tahun depan.

Pada 16 Nov lepas, Mahkamah Pilihan Raya di Seremban membenarkan petisyen pilihan raya Dr Streram untuk membatalkan kemenangan Mohamad tanpa bertanding bagi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Hakim Datuk Azimah Omar mengisytiharkan keputusan bagi kerusi DUN itu tidak sah dan terbatal selepas memutuskan bahawa Mohamad tidak dipilih menurut peraturan sebagai ADUN Rantau.

Beliau menegaskan tidak wujud sebarang undang-undang pilihan raya yang menyatakan seseorang calon, pencadang dan penyokong perlu mempunyai tag atau pas masuk untuk mengemukakan borang pencalonan.

Mohamad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas Dr Streram, seorang pakar bius, dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lepas, disebabkan beliau tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram memfailkan petisyen di mahkamah untuk membatalkan kemenangan Mohamad dan memohon supaya pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi DUN berkenaan.

Dalam petisyen itu, beliau mendakwa SPR gagal memaklumkan kepadanya semasa mengambil borang pencalonan dan membayar deposit bahawa beliau perlu ada tag nama atau pas untuk masuk ke dalam dewan pada hari penamaan calon.

Dr Streram menamakan Mohamad, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rembau Amino Agus dan SPR sebagai responden dalam petisyen itu. – Bernama