Ringgit Lemah

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Ringgit rendah sedikit berbanding dolar US pagi ini, berikutan permintaan yang lemah terhadap ringgit di tengah-tengah kebimbangan baharu terhadap peningkatan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat tahun depan.

Pada 9.11 pagi, ringgit berada pada 4.1650/1700 berbanding dolar US daripada 4.1640/1680 pada penutup Jumaat.

Seorang peniaga berkata, walaupun Fed memberi petunjuk bahawa ia mungkin memperlahankan peningkatan kadar faedah tahun depan, daripada tiga yang dijangkakan, pelabur masih berhati-hati kerana ini bermakna peningkatan kadar faedah adalah berkemungkinan.

“Sebarang kenaikan oleh Fed akan mempunyai kesan negatif terhadap mata wang serantau termasuk ringgit,” tambahnya.

Sementara itu, berbanding mata wang utama lain, ringgit didagangkan rendah kecuali berbanding pound, dengan ringgit tinggi pada 5.3020/3105 daripada 5.3116/3184 Jumaat lepas.

Ia lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0386/0434 daripada 3.0385/0434, susut berbanding yen Jepun kepada 3.7035/7090 daripada 3.6899/6937, dan lemah berbanding euro pada 4.7527/7601 kepada 4.7320/7373. – Bernama