Bursa Semakin Turun

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, meneruskan aliran penurunan minggu lepas, ditambah dengan sentimen belian yang lemah, kesan pengaruh luaran.

Pada 9.03 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.31 mata kepada 1,671.23 daripada penutup Jumaat, 1,680.54.

Indeks dibuka lemah 5.87 mata pada 1,674.67.

Kerugian pada saham Tenaga membawa penyusutan indeks komposit sebanyak 3.232 mata selepas susut 32 sen kepada RM13.38 dengan 140,400 saham bertukar tangan.

Pasaran secara keseluruhan, rugi mengatasi untung 141 kepada 54, dengan 127 kaunter tidak berubah, 1,547 tidak didagangkan dan 25 lagi digantung.

Jumlah dagangan 138.49 juta unit bernilai RM29.59 juta.

Menurut Public Investment Bank Bhd, FBM KLCI mungkin dibuka rendah hari ini selepas saham Amerika Syarikat (AS) terus mengalami kejatuhan di akhir dagangan Jumaat lepas, akibat ketidaktentuan perang perdagangan AS-China dan kebimbangan yang meningkat berhubung pertumbuhan global.

Wall Street ternyata tidak berupaya meneruskan keuntungan yang diperoleh pada permulaan pada Jumaat, kerana saham teknologi dijual dan kekuatan awal sektor tenaga meruap, dengan minyak mentah kembali susut selepas perjanjian Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan rakannya akan memotong pengeluaran.

“Kenyataan penasihat perdagangan White House, Peter Navarro, juga tidak membantu, yang mengatakan AS akan terus meningkatkan tarif terhadap import dari China jika Washington dan Beijing tidak dapat bersetuju terhadap perdamaian dalam masa 90 hari tempoh rundingan.

“Bagaimanapun, indeks saham Eropah dan Asia kebanyakan ditutup meningkat, walaupun dari paras tertinggi harian, kerana pelabur kembali ke pasaran selepas kejatuhan yang hebat pada Khamis,” kata firma penyelidikan itu dalam notanya hari ini.

Di pasaran saham tempatan, dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank susut 10 sen kepada RM24.70, CIMB susut empat sen kepada RM5.74, sementara Maybank dan Petronas Chemicals tidak berubah masing-masing pada RM9.42 dan RM9.20.

Antara yang aktif, Tatt Giap dan Sapura Energy susut setengah sen masing-masing pada 34.5 sen, MYEG susut satu sen kepada RM1.13, tetapi Hubline tidak berubah pada empat sen.

Indeks FBM Emas Shariah susut 82.35 mata kepada 11,525.88, FBM 70 susut 105.44 mata kepada 13,417.55 dan Indeks FBM Ace susut 15.67 mata pada 4,668.72.

Indeks FBM Emas susut 66.93 mata kepada 11,530.67 dan Indeks FBMT 100 susut 69.65 mata kepada 11,410.27.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan lemah 69.08 mata pada 6,766.03 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 33.44 mata kepada 17,401.59, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.14 mata kepada 168.9. -Bernama