#DaulatHimpunan812 Pamer Penyatuan Melayu


IPOH 9 Dis. – Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan perhimpunan #DaulatHimpunan812 menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) telah memperlihatkan penyatuan umat Islam dan Melayu di negara ini.

Beliau bagaimanapun berkata, perhimpunan itu lebih baik lagi sekiranya disertai rakyat pelbagai kaum yang secara langsung dapat mewujudkan perpaduan di antara mereka.

“Dari satu segi (himpunan) bagus (menunjukkan) penyatuan Melayu tetapi saya lebih suka kalau ada ramai bukan Melayu. Ini kerana, Malaysia adalah negara yang pelbagai kaum, tidak bolehlah Melayu sahaja.

“Tetapi kalau tujuan untuk tunjuk Melayu bersatu, bagus namun lebih baik wujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis resepsi bekas calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan 2014, Dyana Sofya Mohd. Daud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari di Kelab Golf Diraja Perak di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, sesuatu perhimpunan yang ingin diadakan perlu penglibatan bangsa lain kerana rakyat negara ini hidup dalam masyarakat majmuk.

“Kita (orang Melayu) kena ajak mereka sama, tak akan Melayu, Melayu, Islam, Islam sahaja. Mereka pun tidak berani datang. Suka atau tidak, kita kena hidup bersama dan bertolak ansur dalam banyak hal.

“Tidak boleh segalanya milik kita sahaja. Kita kena berkongsi. Langit kita kongsi, bumi kita kongsi, hidup kena kongsi dan agama masing-masing,” katanya.

Sementara itu, ditanya pandangannya mengenai ICERD, beliau berkata, ia boleh diratifikasikan namun pada masa ini ia memerlukan penjelasan lanjut kepada rakyat bagi mengelakkan salah faham.

Katanya, perbezaan taraf hidup menyebabkan isu tersebut sukar diterima oleh masyarakat.

“Icerd bukan nak rombak Perlembangaan kita atau mahu buang perkara dalam Perlembagaan. Saya tidak fikir itu tujuannya tetapi mungkin kita tidak mahu terima (IDERC) sekarang kerana orang kita belum sampai ke tahap berlumba bersama.

“Taraf hidup berlainan, jadi kita tidak dapat terima pada masa ini dan takut ada salah faham. Baik kita jelaskan betul-betul kepada rakyat supaya mereka boleh terima dengan hati terbuka,” katanya.-UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.