LIPUTAN LANGSUNG #HimpunanDaulat812 : KL Memutih


KUALA LUMPUR, 8 Dis – Hari ini, lebih setengah juta rakyat berhimpun di Dataran Merdeka dan kawasan sekitar yang dibenarkan pihak berkuasa bagi menyatakan solidariti kepada agama, bangsa dan tanah air.

Rakyat telah mula membanjiri kawasan ‘check point’ seperti di Masjid Negara seawal pagi tadi, di mana ketika solat subuh berjemaah hampir menyamai jumlah waktu solat Jumaat.

Selain Masjid Negara, kawasan Masjid Jamek Kuala Lumpur dan Kompleks Sogo turut menjadi ‘check point’, sebelum peserta himpunan bergerak secara aman ke Dataran Merdeka.

Bahkan bukan sahaja di negara ini, bantahan turut disuarakan oleh mahasiswa di luar negara seperti di Mesir yang menyokong usaha himpunan tersebut.

Himpunan aman tersebut bertitik tolak daripada komitmen kerajaan di dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang akan meratifisi ICERD.

Setelah mendapat tentangan hebat daripada rakyat, kerajaan terpaksa tunduk dengan tidak meratifikasi ICERD, itupun melalui kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri tanpa tandatangan Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi apa yang rakyat mahukan kerajaan membawanya ke sidang Dewan Rakyat. – MediaUMNO

*****

5.00 pm – Himpunan Daulat 812 petang ini melabuhkan tirainya dengan para peserta mengikuti bacaan ikrar oleh penganjur.

Terdahulu sebelum itu beberapa pimpinan daripada UMNO dan Pas serta NGO termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan masing-masing dengan penuh semangat.

Para peserta yang hadir tidak berganjak walaupun hujan mula turun renyai-renyai. Masing-masing yang berada di Dataran Merdeka duduk dengan tekun mendengar ucapan pimpinan yang menyampaikan ucapan bermula sejak 2.00 petang tadi.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Nik Muhammad Zawawi Salleh kemudiannya membacakan doa penutup himpunan berkenaan dan majlis bersurai dalam suasana yang cukup muhibah dan aman damai.

Tiada sebarang kekacauan mahu pun kekecohan sepanjang himpunan berkenaan.

*****

Himpunan Diskusi 812 menjadi lambang kebersatuan rakyat Malaysia yang berkumpul melibatkan lebih 500,000 orang di Dataran Merdeka.

*****
2.30 pm – KL memutih, lautan manusia membanjiri kawasan sekitar Dataran Merdeka dan jalan-jalan di kawasan tersebut sebagai tanda bermulanya Himpunan Daulat 812 hari ini.

*****

2.15 pm – Peserta Himpunan Daulat 812 berkumpul tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang sebagaimana boleh dibaratkan puisi lama tradisi dalam menyahut panggilan dari Istana:

Pukul tabuh larangan
Palu gong pelaung
Titir canang pemanggil
Yang capik datang bertongkat
Yang buta beraba-raba
Yang tuli leka bertanya
Yang kecil terambin lintang
Yang jarak tolak-tolakan
Yang pendek bertinjau-tinjau
Yang kurap mengekor angin
Yang pekak pembakar meriam
Yang buta pemghembus lesung
Yang lumpuh penghalau ayam
Yang pekung penjemuran
Yang kurap pemikul buluh

*****

1.50 pm – Perarakan dari semua arah menuju ke Dataran Merdeka yang melambangkan kesatuan rakyat menunjukkan solidariti menolak ICERD dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan menyertai lautan manusia menuju pusat perhimpunan di Dataran Merdeka.

*****
1.30 pm – Bendera Sabah yang mewakili rakyat peribumi tempatan turut berkibar di Masjid Jamek menuju Dataran Merdeka

*****

1.15 pm – Para peserta Himpunan Daulat 812 menunaikan solat Zuhur berjemaah di kawasan sekitar sebelum meneruskan perarakan ke Dataran Merdeka. Dijangka Pukul 2.00 petang peserta himpunan akan berkumpul dan memulakan acara sebagai lambang kesyukuran atas penolakan ratifikasi ICERD dan kesatuan rakyat Malaysia keseluruhannya.

*****
1.00 PM – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi tumpuan para peserta himpunan sebelum tiba di Masjid Negara bagi menunaikan solat Zuhur.

Sehingga kini tiada sebarang kejadian tidak diingin berlaku yang membuktikan bahawa Himpunan Daulat 812 berbeza dengan BERSIH atau demonstrasi 98 yang banyak memusnahkan harta benda awam malah anggota keselamatan turut jadi mangsa.

Datuk Zahida Zarik Khan mencuri tumpuan apabila dengan lantang melaungkan ‘Tolak ICERD’ sambil disahut oleh para peserta sebelum sama-sama berarak dari hadapan Kompleks Sogo menuju ke Dataran Merdeka.

Di Dataran Sogo, kehadiran Ustaz Azhar Idrus dan beberapa pimpinan Pas yang lain seperti Nik Abduh dan Nasarudin Tantawi menyemarakkan lagi suasana mereka yang berada di sini.

Laungan ‘Tolak ICERD’ terus bergema. Suasana tersebut dimeriahkan lagi dengan sekumpulan anak muda yang sanggup membawa pembesar suara bergerak yang diusung untuk diletakkan di kawasan ‘hot spot’ bagi memudahkan peserta himpunan mendengar ucapan dari pemimpin.


*****

12.45 pm – Para peserta Himpunan Daulat 812 di Masjid Jamek mula berarak ke Jalan Raja, Dataran Merdeka disebabkan pertambahan orang ramai yang hadir. Dianggarkan sekitar 50,000 mula membanjiri kawasan sekitar dan jumlahnya semakin meningkat dari masa ke masa.

*****
12.30 pm – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan bersama barisan Exconya bakal menyertai sekitar 20,000 peserta Himpunan Daulat 812 untuk berarak ke Dataran Merdeka.

Dijadualkan semua peserta himpunan akan berkumpul bersama-sama di Dataran Merdeka pada pukul 2.00 petang ini bagi menunjukkan solidariti rakyat menolak ratifikasi ICERD.


*****

12.30 pm – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mula berarak bersama peserta Himpunan Daulat 812 menuju ke Masjid Negara.

Turut serta adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan, Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Setiausaha Agung Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman.

Peserta akan menunaikan solat zohor di Masjid Negara sebelum berarak ke Dataran Merdeka

*****

12.15 pm – Suasana meriah dan menghiburkan di Masjid Jamek dengan nyanyian dari kumpulan NGO ‘Benar Malaysia’ yang membuat persembahan secara akuastik lagu-lagu patriotik seperti ‘Anak Kecil Main Api’, ‘Saya Anak Malaysia’, ‘Satu Malaysia’ dan lain-lain lagi.

Sementara itu, bagi kumpulan anak muda dari Ampang, yang menamakan diri mereka ‘Ampang Rebels’ pula menyanyikan lagu-lagu yang menaikkan semangat perserta himpunan seperti ‘Inilah Barisan Kita’ dengan diiringi paluan gendang.


*****

12.00 pm – Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberikan ucapan dengan mengajak orang ramai untuk sama-sama bersolidariti demi kepentingan mempertahankan Perlembagaan Negara.

Katanya, kita perlu sampaikan mesej yang tegas dan terang kepada kerajaan dan nak sebut cukup-cukup menipu rakyat.

Tegasnya, rakyat celik hati dan celik akal maka perlu hantar mesej jangan cuba bawa acuan daripada barat kononnya nak sama sedangkan ada pihak cuba merobek Perlembagaan yang menjadi asas dan tiang kepada keharmonian.

*****
11.45 am – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi dan Exco Pemuda berada di kawasan Kompleks Sogo beramah mesra dengan dengan orang ramai yang bakal berarak bersama-sama ke Dataran Merdeka menjelang pukul 2.00 nanti. Turut kelihatan Datuk Dr Najmil Faiz dan pimpinan yang lain.

*****
11.30 am – Bilangan peserta yang akan menyertai Himpunan Daulat 812 semakin bertambah di kawasan-kawasan sekitar Masjid Jamek, Dataran Kompleks Sogo, Jalan Raja Laut dan Masjid Negara yang akan berkumpul di Dataran Merdeka nanti.

Kebanyakannya menunjukkan semangat untuk menyertai perhimpunan kesyukuran penolakan ratifikasi ICERD dengan laungan ‘Tolak ICERD’ terus bergema.

Para peserta juga menunjukkan komitmen yang tinggi dan memberikan kerjasama yang baik dalam memastikan perhimpunan berlangsung dengan aman dan tenteram.

*****

11.00 am – Ahli gabungan Pertubuhan Silat SeMalaysia telah berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan sejak awal pagi tadi sebelum berarak menuju ke pintu 3 Istana Negara. Perarakan ini dibuat bagi menyerahkan memorandum sempena himpunan kesyukuran atas keputusan kerajaan menolak ratifikasi ICERD.

*****

Di Dataran Sogo orang ramai mula memenuhi kawasan sekitar dan laluan Jalan Raja Laut menuju ke Dataran Merdeka. Masing-masing cukup bersemangat walaupun perhimpunan akan bermula jam 2 petang nanti.

Laungan ‘Tolak ICERD’ saling bersahutan dan masing-masing mengambil kesempatan berehat di kawasan sekitar sementara menunggu jam 2 petang nanti.

*****

10.45 am – Himpunan Daulat 812 bukan sahaja menghimpun rakyat Malaysia bagi membantah ratifikasi ICERD tapi ia juga membuka pintu rezeki kepada para peniaga.

Tinjauan di kawasan Masjid Negara mendapati ianya meriah dengan para peniaga yang menjual pelbagai barangan. Selain daripada t shirt bertulis ‘Tolak ICERD’, terdapat pelbagai jenis makanan yang dijual seperti kambing golek, nasi ayam, jeruk dan lain-lain.

Para peserta himpunan yang telah tiba awal mengambil kesempatan bersarapan terlebih dahulu sebelum himpunan ini bermula.

*****

10.30 am – Di Masjid Jamek, kini, hampir lima ribu rakyat tanpa mengira perbezaan latar belakang ras, fahaman dan fikrah telah mula berhimpun dalam suasana aman dan tenang.

Dalam memastikan kelancaran dan keamanan himpunan, program dimulai dengan bacaan doa dipimpin oleh Ustaz Hanif, Ketua Pemuda Pas Kuala Langat.

Pasukan keselamatan juga siap sedia untuk kawalan di lokasi terbabit.

*****

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.