Ayuh Bersolidariti, Sampaikan Mesej Pertahankan Perlembagaan Negara

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Ketua Pergerakan UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengajak orang ramai untuk sama-sama bersolidariti demi kepentingan mempertahankan Perlembagaan Negara.

Katanya, hari ini rakyat berhimpun adalah untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada kerajaan.

“Kenapa kita perlu berkumpul? Kita perlu sampaikan mesej yang tegas dan terang kepada kerajaan dan nak sebut cukup-cukup menipu rakyat,” tegasnya dalam ucapan dihadapan peserta Himpunan Daulat 812, di Dataran Sogo hari ini.

Katanya, rakyat celik hati dan celik akal maka kita perlu hantar mesej jangan cuba bawa acuan daripada barat kononnya nak sama.

“Kita ada acuan kita sendiri… acuan kita berasaskan Perlembagaan dan kontrak sosial. Jangan cuba merobek Perlembagaan yang menjadi asas dan tiang kepada keharmonian.

“Apakah kita di negara ini ada kaum dan agama yang dizalimi? Sebab itulah kita nak sampaikan mesej jangan main api perkauman, hormati apa yang ada, keluhuran Perlembagaan mesti kita pertahankan.

“Selama 61 tahun Malaysia merdeka, kita dapat hidup berbilang kaum dan agama, boleh hidup stabil tapi baru tujuh bulan kerajaan baru berkuasa ada cubaan untuk ratifikasi ICERD.”

Sehubungan itu, katanya, hari ini rakyat mahu menyampaikan mesej tegas kepada kerajaan .

“Kita bantah ICERD dan tolak semua konvensyen yang boleh runtuhkan keharmonian kita. Kita bersatu hati atas dasar sayang kepada Malaysia, kita sayang negara kita… kita pakai putih dan inysa-Allah kita akan terus bersama selepas tamat perhimpunan ini.”

Beliau turut menyeru peserta agar dapat berhimpun dengan aman selain menjadi mata dan telinga dengan mencegah mana-mana pihak yang cuba melakukan provokasi.

“Kalau nampak kita serahkan kepada unit amal Pas…kita ada Pemuda UMNO yang jaga keselamatan, kita bekerjasama rapat dengan pihak polis juga.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.