Himpunan Daulat 812 Bukan Himpunan Politik, 500 Ribu Dijangka Hadir

KUALA LUMPUR, 7 Dis – 500 ribu orang dijangkakan bakal menghadiri Himpunan Daulat 812 yang bakal diadakan esok di Dataran Merdeka, ujar Pengarah programnya Kamaruzzaman Muhammad.

Jelas beliau, segala persiapan terakhir telah dilakukan termasuklah lawatan tapak bersama pihak berkuasa bagi menjamin himpunan ini berjalan lancar.

“Malam tadi kita telah mengadakan lawatan tapak bersama pihak berkuasa dan setakat ini segala-galanya berjalan lancar mengikut perancangan.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa pihak kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan DBKL, maka, saya berharap tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini akan berlaku,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Kamaruzzaman yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Pembela Ummah, seramai 12 ribu petugas keselamatan daripada badan amal Pas telah disediakan bagi membantu kelancaran himpunan ini.

“12 ribu ini tidak termasuk pihak UMNO dan NGO. Ini hanya daripada Pas. Jadi saya yakin himpunan ini akan dapat dikawal dengan baik.

“Namun saya ingin berpesan kepada semua peserta agar jangan sesekali terlibat dengan sebarang provokasi atau keganasan.

“Ingat… ini bukan himpunan politik tetapi ini adalah himpunan suara rakyat tanpa mengira apa fahaman politik mereka,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.