Rizab Antarabangsa BNM Semakin Merudum

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah US$102.0 bilion pada 30 Nov, 2018 daripada US$102.1 bilion pada 15 Nov, 2018.

Bank pusat itu, dalam kenyataan hari ini berkata paras rizab itu memadai untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh dan 1.0 kali hutang luar negara jangka pendek.

Komponen utama rizab antarabangsa terdiri daripada rizab mata wang asing berjumlah US$96.3 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (US$900 juta), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (US$1.1 bilion), emas (US$1.5 bilion), dan lain-lain aset rizab (US$2.2 bilion).

Aset BNM terdiri daripada emas dan pertukaran asing serta rizab-rizab lain termasuk SDR yang berjumlah RM422.85 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM3.39 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM6.95 bilion), tanah dan bangunan (RM4.18 bilion), dan aset-aset lain (RM8.54 bilion).

Liabiliti pula meliputi modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM134.97 bilion), mata wang dalam edaran (RM103.72 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM159.29 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM8.95 bilion), deposit-deposit lain (RM1.00 bilion), kertas BNM (RM27.51 bilion), peruntukan SDR (RM7.77 bilion), dan liabiliti-liabiliti lain (RM2.60 bilion). – Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.