Jangan Benarkan Orang Luar Corakkan Negara, Tolak ICERD – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil tegas berkata sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia tidak perlu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menurutnya, seharusnya Malaysia dicorak dan ditadbir mengikut acuannya sendiri tanpa perlu mengikut telunjuk orang luar atau bekas penjajah.

“Kita sudah Merdeka. Kita tidak perlu telunjuk orang luar atau bekas penjajah untuk mencorak cara kita mentadbir diri kita sendiri. Biarlah kita menentukan untung nasib kita sendiri di tanahair ini.”

“ICERD ini adalah acuan barat. Negara kita tidak sama dengan negara barat. Konteks keharmonian dan hubungan kaum di Malaysia adalah berbeza di sini. Selama berpuluh tahun lamanya kita telah berjaya mengekalkan keharmonian pelbagai kaum tanpa banyak insiden,” katanya di dalam satu penulisan buku e-book di blognya ishamjalil.wordpress.com hari ini, di sini.

Tambah Isham, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetap mahu meratifikasi ICERD, mereka terpaksa memenuhi tuntutan-tuntutan seperti yang terkandung di dalam perjanjian tersebut.

“Sekiranya kerajaan meratifikasi ICERD, maka Kerajaan perlu menghantar laporan setiap tahun kepada sekretariat ICERD ini untuk melaporkan sama ada kita patuh kepada dasar-dasar mereka.

“Sekiranya kita tidak patuh, mereka boleh memberikan tekanan kepada kita. Dan tekanan ini boleh dijadikan alasan oleh Kerajaan untuk menggubal Perlembagaan termasuk perkara-perkara yang melibatkan orang-orang Melayu, Bumiputera dan Islam dan juga komuniti-komuniti lain.

“Jika ahli-ahli Parlimen kerajaan cukup dua per tiga dalam Dewan Rakyat, maka Perlembagaan berkemungkinan besar akan diubah,” tegasnya. – Media UMNO.

Hasil penulisan Isham boleh diperolehi di pautan: https://ishamjalil.files.wordpress.com/2018/12/icerd-dan-mengapa-semua-kaum-di-malaysia-perlu-menolaknya-sebuah-esei-pendek.pdf

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.