Keutamaan Rakyat Dan Demokrasi Sentiasa Mendahului – Azalina

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) di Parlimen Malaysia disifatkan sebagai manifestasi serta kematangan proses politik dan demokrasi berparlimen di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, proses tersebut berlangsung mengikut kerangka sistem Parlimen yang sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia hadir mewakili Kerajaan Perpaduan sebagai saksi majlis pemeteraian berkenaan menjelaskan bahawa perbezaan pandangan dan prinsip antara parti merupakan adat dalam landskap demokrasi, namun kepentingan rakyat dan negara mesti sentiasa mendahului segala-galanya.

“Dalam demokrasi, setiap parti mempunyai pendirian, prinsip dan tanggungjawab masing-masing. Perbezaan ini adalah sebahagian daripada landskap politik negara, manakala penghormatan terhadap Perlembagaan dan institusi Parlimen kekal penting dalam perjalanan demokrasi kita.

“Sebagai wakil rakyat, tanggungjawab kita adalah untuk terus menghormati proses demokrasi dan memastikan kepentingan rakyat serta negara sentiasa diberikan perhatian,” katanya.

Azalina berkata demikian bagi mengulas langkah kestabilan politik yang dizahirkan menerusi pemeteraian perjanjian tersebut di Parlimen, baru-baru ini.

Tambah Ahli Parlimen Pengerang itu lagi, keutamaan setiap ahli politik ketika ini adalah untuk memastikan agenda kebajikan rakyat serta kestabilan institusi negara terus terpelihara tanpa membelakangkan proses undang-undang dan demokrasi yang sah. — UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO