Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Dijangka Merosot Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka merosot kepada 4.5 peratus tahun depan daripada 4.8 peratus tahun ini, dengan permintaan domestik memberikan sedikit kelegaan di tengah-tengah prospek yang lebih mencabar bagi eksport, kata Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW).

Penasihat Ekonomi dan Pakar Ekonomi Asia Untuk Oxford Economics, Sian Fenner berkata, inflasi yang lebih tinggi, pengetatan kadar dasar, pertimbangan kestabilan kewangan yang timbul daripada kadar faedah yang lebih tinggi di Amerika Syarikat (AS) dan pembangunan dalaman juga mungkin menyederhanakan permintaan.

“Selaras dengan simulasi tarif AS-China, kami menjangka ekonomi dengan hubungan yang paling rapat akan terjejas paling teruk dalam perang perdagangan, sama ada melalui eksport langsung atau tidak langsung,” katanya.

Fenner berkata demikian semasa menyampaikan Laporan Pandangan Ekonomi ICAEW: Asia Tenggara untuk Suku Keempat 2018 di sini hari ini.

Perbelanjaan isi rumah mungkin menyederhana kepada antara 5.5 dan 6.0 peratus pada 2019, katanya.

“Berdasarkan latar belakang global yang mencabar, kami menjangka bahawa kesan tidak langsung perang perdagangan AS-China akan dirasa lebih kuat pada 2019, mengakibatkan ramalan pertumbuhan yang rendah untuk Malaysia tahun depan, dengan konteks makroekonomi global masih agak posistif,” katanya.

Mengenai rundingan perdagangan AS-China, Fenner berkata, perkembangan positif mungkin membawa kepada pertikaian terhenti buat sementara.

“Kami tidak menjangka yang import AS$200 bilion dari China akan dikenakan tarif 25 peratus. Kita mempunyai tempoh 90 hari tetapi apa yang penting ialah perdagangan antara AS dan China masih agak besar.

“Ia bukan sahaja mengenai perdagangan tetapi juga keselamatan negara. Ia addalah mengenai China yang ingin meneruskan dengan Buatan China 2025 dan AS cuba melindungi sektor pembuatannya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Fenner menjangka Bank Negara Malaysia akan menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada pertengahan 2019. Kadar dasar semalaman ketika ini adalah pada 3.25 peratus.

Menurut laporan ICAEW, kedudukan fiskal Malaysia dijangka bertambah baik dengan defisit dianggarkan berada pada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, tinggi sedikit daripada sasaran kerajaan sebanyak 3.4 peratus.

Ia mencerminkan prospek yang lebih berhati-hati untuk pertumbuhan KDNK antara 2019 dan 2020 dan kesan tertangguh daripada rangsangan potensi pendapatan daripada cukai baru yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.

Walaupun unjuran fiskal yang lebih tinggi, negara dijangka mengekalkan penarafan kreditnya melalui usaha untuk memulihkan kewangan awam dengan mengurangkan defisit fiskal dalam jangka sederhana dan pembayaran kadar faedah yang lebih rendah sebagai sebahagian daripada pendapatan. – Bernama