Himpunan Ummah Tolak ICERD Di Negeri-negeri Bukti Berlangsung Aman, Bukan Macam Himpunan Bersih


TEMERLOH, 4 Dis – Kejayaan Himpunan Tolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang telah berlangsung di beberapa negeri adalah bukti bahawa ia tidak sama dengan himpunan Bersih yang penuh huru-hara dan kacau-bilau, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Katanya, sepanjang siri Himpunan Tolak ICERD telah terbukti bahawa ia berlangsung secara aman dan tidak ada sebarang provokasi atau merosakkan harta benda awam berlaku.

“Dulu mereka (kerajaan) ajar rakyat berhimpun tapi buat kecoh… tengoklah apa yang terjadi semasa Bersih dahulu… tetapi tidak untuk kita. Kita berhimpun dan bersurai secara aman.

“Apa yang penting hasrat kita dapat disampaikan kepada kerajaan iaitu jangan ganggu hak orang Islam dan Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan,” tegas beliau yang juga ADUN Lanchang.

Sehubungan itu katanya, siri Himpunan Ummah Tolak ICERD ke bahagian-bahagian tetap diteruskan dengan Temerloh bakal mengambil tempat pada 6 Dis depan ini.

“Dulu Bersih pun ada satu, dua dan tiga… kita tidak halang pun (semasa BN memerintah). Sekarang kita berhimpun bukan untuk buat kacau. Kita tahu cara untuk berhimpun dengan baik malah sudah terbukti pun.

“Kita buktikan kepada kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) bahawa kita jauh berbeza dengan mereka… kita akan hadir beramai-ramai dan berhimpun, kemudian bersurai dengan aman.

Bercakap berkaitan Himpunan Ummah di Pahang, Sharkar yang juga Exco Pelancongan Pahang memaklumkan bahawa ia bakal diadakan di Dataran Temerloh.

“Kita bermula dengan solat Maghrib, ada kuliah dan ucapan…. Apa yang kita mahu adalah menyampaikan hasrat dan menunjukkan bahawa umat Islam amat sensitif sekiranya hak mereka diganggu… jangan ganggu Perlembagaan terutama Perkara 153,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Katanya, program yang dianjurkan oleh Kesatuan Ummah Pahang (KUP) dan Gabungan NGO Islam dan Melayu seluruh Pahang ini akan dimulai dengan solat maghrib, kuliah, solat Isyak, solat hajat, selawat dan juga ceramah daripada pemimpin UMNO dan Pas.

“Saya berharap orang ramai akan dapat hadir beramai-ramai di perhimpunan dan bersama-sama menjaga disiplin.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.